AM

Parancah besi di lebuh raya dalam pembinaan runtuh, dua pekerja cedera

20/06/2021 10:49 AM

KUALA LUMPUR, 19 Jun -- Dua pekerja binaan warga Bangladesh cedera selepas perancah besi di tapak pembinaan lebuh raya di Lebuh Raya Bertingkat Damansara Shah Alam (DASH) berhampiran susur keluar tol Kota Damansara dekat sini runtuh petang tadi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Norazam Khamis berkata dalam kejadian kira-kira 7 malam itu, kedua-dua mangsa berusia antara 20 hingga 40 tahun sedang melakukan kerja-kerja pembinaan di bawah struktur konkrit setinggi 12 meter itu.

"Seorang pekerja binaan mengalami cedera ringan manakala seorang lagi cedera parah di bahagian pinggang akibat terkena serpihan runtuhan. Semua mereka telah dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan lanjut," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Kata Norazam, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian berkenaan pada pukul 7.13 malam dan sebuah jentera bersama lapan anggota dikerahkan ke tempat kejadian.

"Operasi menyelamat ditamatkan pada pukul 7.34 malam," katanya.

Sementara itu, Projek Lintasan Damansara-Shah Alam Sdn Bhd dalam kenyataannya berkata insiden yang berlaku di tapak pembinaan projek DASH itu berlaku di kawasan tertutup dan tidak melibatkan pengguna lebuh raya.

"Pasukan Tindak Balas Kecemasan DASH telah berada di tempat kejadian untuk mengawal trafik dan mengalihkan perancah besi yang jatuh," katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, arahan pemberhentian kerja di tapak pembinaan berkenaan telah dikeluarkan serta merta dan pihak pemaju serta kontraktor utama yang terlibat akan memberikan kerjasama penuh dalam siasatan yang dijalankan oleh pihak berwajib. 

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan