DUNIA

Usaha percepat vaksinasi Malaysia dipertingkat

04/06/2021 09:48 PM

KUALA LUMPUR, 4 Jun -- Malaysia pada Khamis (3 Jun) mencatat kejayaan baharu dalam usaha vaksinasi apabila 117,563 dos vaksin diberikan dalam sehari, jumlah tertinggi sejak Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan ( PICK) dilaksanakan 100 hari yang lalu.

Angka tersebut menjadi petunjuk jelas bahawa rancangan mempercepatkan vaksinasi sedang rancak dilaksanakan dan bersedia untuk memenuhi sasaran ditetapkan iaitu 150,000 suntikan vaksin setiap hari pada Jun sebelum ditingkatkan kepada 200,000 pada Julai.

Pada Khamis, Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin berkata  sasaran itu akan dicapai melalui penubuhan lebih banyak pusat vaksinasi, termasuk 1,000 klinik swasta di seluruh negara, serta melalui sistem pandu lalu.

Khairy, yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, berkata kadar vaksinasi Malaysia, termasuk dos pertama, telah mendahului Indonesia, Thailand, Filipina dan Vietnam.

Berdasarkan dos vaksin yang diberikan setiap 100 orang mengikut jumlah populasi, statistik yang disediakan ourworldindata.org menunjukkan Malaysia dengan angka 9.3 mengikuti rapat negara jirannya Indonesia (9.98) dan Brunei (12.06). Hanya Singapura yang jauh di depan dengan 69.19.

Menurut data Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) pada  Jumaat menunjukkan 12,584,422 orang atau lebih satu pertiga daripada penduduk Malaysia yang berjumlah 31.5 juta sudah mendaftar untuk vaksin.

Sejumlah 2,282,783 rakyat Malaysia telah melengkapkan proses vaksinasi.

Malaysia pada Jumaat mencatatkan 7,748 kes baharu dan 86 kematian, menjadikan jumlah kes COVID-19 keseluruhan sebanyak 603,122 dengan jumlah kematian terkini 3,182.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan