KOTA BHARU, 26 Mei -- Seramai 91 pesakit di bawah pengawasan (PUS) ditempatkan di Stesen Kuarantin (SK) Sektor Sumber Teknologi Pendidikan (SSTP) Pengkalan Chepa, di sini setakat hari ini, kata Penyelaras SK SSTP, Kapten Pertahanan Awam (PA) Muhammad Shafie Rosslee.
Beliau berkata PUS di stesen itu terdiri daripada pelbagai latar belakang seperti datang dari kawasan kluster, negara jiran dan bekas banduan yang perlu dikuarantin.
"Terdapat 91 pesakit di sini yang menjalani kuarantin termasuk 23 orang daripada Kluster Kepulauan Tumpat, bekas banduan dan kontak rapat yang lain.
"Kesemua yang ditempatkan di sini akan menjalani kuarantin selama 10 hari dan sekiranya mereka disahkan positif, mereka akan segera dihantar ke Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) berdekatan," katanya kepada pemberita di SK SSTP Pengkalan Chepa di sini hari ini.
Menurut Muhammad Shafie jumlah kumulatif PUS yang pernah ditempatkan di SK SSTP adalah seramai 1,850 orang.
"Seramai 1,759 kes pulih iaitu sejak pembukaan SK SSTP pada 16 Mac 2020," katanya.
Muhammad Shafie berkata stesen tersebut memiliki seramai 24 petugas terdiri daripada anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
"Kakitangan akan bertugas 24 jam termasuk dalam membuat pemantauan, keselamatan dan penyediaan makan minum pesakit," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial