KUALA LUMPUR, 16 Jun (Bernama) -- Amanah Raya Berhad (AmanahRaya) dan Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) menjalinkan kerjasama strategik dengan memperkenalkan JPPH Drive, sebuah platform digital bersepadu bagi mempercepat proses pentadbiran harta pusaka.
AmanahRaya dalam kenyataan memaklumkan inisiatif digital terbaharu itu, bertujuan memperkemas proses penilaian hartanah dengan mengurangkan kebergantungan kepada kaedah manual yang diguna pakai sebelum ini, sekali gus meningkatkan kecekapan pengurusan kes serta mempercepat penyampaian perkhidmatan kepada pelanggan.
Pelancaran kerjasama dua hala itu, diadakan bersempena dengan Sambutan Hari JPPH ke-69 di Institut Penilaian Negara (INSPEN), Bangi semalam, sekali gus menjadi permulaan kepada kolaborasi untuk memacu penyampaian perkhidmatan lebih cekap menerusi pemanfaatan teknologi digital.
Pemangku Pengarah Urusan Kumpulan AmanahRaya Jack Yap Ngee Heong berkata kolaborasi itu, mencerminkan komitmen syarikat dalam memperkukuh pengalaman pelanggan menerusi penyelesaian yang lebih inovatif dan efisien.
“Pendigitalan ini bukan sahaja mengurangkan kebergantungan kepada proses manual, malah meningkatkan kecekapan pentadbiran harta pusaka secara menyeluruh, demi kepentingan waris dan pihak berkepentingan,” katanya dalam kenyataan sama.
Beliau berkata antara manfaat utama pelaksanaan platform itu termasuk peningkatan kecekapan operasi, akses kepada maklumat yang lebih cepat dan sistematik, serta pengurusan maklumat yang lebih teratur.
Yap berkata platform itu juga, dijangka dapat menyumbang kepada penjimatan kos dan penambahbaikan kualiti perkhidmatan melalui sistem yang lebih efisien dan telus.
Sementara itu, Ketua Pengarah JPPH Abdul Razak Yusak berkata pelancaran JPPH-AmanahRaya Drive itu membuktikan komitmen agensi berkenaan dalam memperkukuh agenda pendigitalan sektor awam.
Beliau berkata inisiatif itu, mampu mentransformasikan proses kerja kepada sistem yang lebih bersepadu serta mempercepat pengurusan permohonan penilaian hartanah, bagi urusan pentadbiran harta pusaka.
Pada masa sama, ia juga dapat memperkukuh aspek tadbir urus, ketelusan serta keberkesanan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
“Kerjasama strategik antara JPPH dan AmanahRaya mencerminkan pendekatan menyeluruh kerajaan yang semakin penting dalam mempertingkatkan keberkesanan penyampaian perkhidmatan awam.
“Melalui platform digital yang selamat dan berpusat ini, perkongsian maklumat dapat dilaksanakan dengan lebih pantas, sistematik dan berintegriti, sekali gus mempercepat proses pentadbiran harta pusaka demi manfaat waris serta pihak berkepentingan,” katanya.
Beliau turut berharap inisiatif berkenaan akan menjadi pemangkin kepada lebih banyak kolaborasi digital antara agensi kerajaan dan organisasi strategik pada masa hadapan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial