ALOR SETAR, 18 Jun (Bernama) -- BDB Land Sdn Bhd (BDB Land), anak syarikat milik penuh Bina Darulaman Berhad (BDB) akan membangunkan pusat komersial baharu iaitu Darulaman Commercial District (DCD) di Bandar Darulaman, Jitra dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM41.5 juta.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BDB Che Abdul Khalid Md Din berkata projek di tanah seluas 5.01 ekar itu meliputi 45 unit bangunan kedai pejabat dua dan tiga tingkat serta sebuah bangunan pejabat korporat baharu BDB Land.
“Selain itu, ia juga berperanan menjadi pusat perniagaan dan tumpuan gaya hidup yang melengkapkan komuniti sedia ada. Lokasi projek itu juga terletak bersebelahan Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dan berhampiran Darulaman Golf & Country Club (DGCC), Tasik Darulaman Park serta Taman Tema Air Fantasia Aquapark yang memberi kelebihan dari segi ketercapaian serta potensi limpahan ekonomi.
“Lokasinya yang strategik ini akan mengukuhkan keterhubungan ekonomi dengan menghubungkan perumahan, komersial, rekreasi dan pelancongan dalam satu ekosistem yang saling melengkapi, sekali gus menyokong peranan Bandar Darulaman sebagai salah satu pusat pertumbuhan utama di wilayah utara,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata pembangunan itu merupakan sebahagian daripada usaha berterusan kumpulan dalam memperkukuh ekosistem pasaran hartanah di Bandar Darulaman seluas 2,200 ekar yang kini merangkumi lebih 5,000 unit kediaman dan komponen pembangunan bercampur.
“Inisiatif ini turut menyokong strategi jangka panjang BDB dalam menambah nilai keseluruhan perbandaran berkenaan. DCD direka dengan ruang perniagaan yang lebih tersusun dan moden untuk menyokong keperluan semasa serta jangka panjang komuniti perniagaan, seterusnya merancakkan aktiviti ekonomi menerusi sektor peruncitan, perkhidmatan dan keusahawanan.
“Selaras dengan permintaan pasaran, kerja-kerja awal projek telah bermula melibatkan pembersihan tapak dan penyediaan tanah sebagai persediaan untuk fasa pembinaan seterusnya,” katanya.
Dalam pada itu, Che Abdul Khalid menegaskan komitmen utama BDB Land adalah untuk memastikan setiap pembangunan memberi impak jangka panjang kepada nilai hartanah dan kesejahteraan komuniti di Bandar Darulaman, sejajar dengan prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) yang menjadi teras amalan Kumpulan BDB.
“Setiap pembangunan bukan sahaja tertumpu kepada aspek fizikal, tetapi turut menitikberatkan aspek sosial dan tadbir urus melalui perancangan bandar yang lebih berdaya huni serta menyokong pertumbuhan ekonomi yang mampan.
“Pendekatan ini menjadi asas kepada pembentukan persekitaran yang lebih terancang, seimbang dan berkualiti untuk generasi akan datang. Projek ini telah dibuka untuk tempahan dan maklumat lanjut boleh diperoleh dengan menghubungi BDB Land di talian 04-919 9080 atau 013-496 4288,” tambah kenyataan itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial