KUALA LUMPUR, 19 Mei -- Dialog Group Bhd mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM136.17 juta bagi suku ketiga berakhir 31 Mac, 2021, merosot 10 peratus daripada RM151.04 juta setahun sebelumnya.
Hasil jatuh kepada RM405.18 juta daripada RM505.43 juta yang dicapai pada suku yang sama tahun sebelumnya, kata penyedia perkhidmatan teknikal bersepadu bagi industri minyak dan gas dan petrokimia.
“Walaupun perolehan dan keuntungan bersih yang lebih rendah dilaporkan dalam aktiviti hiliran, kumpulan menyaksikan peningkatan sumbangan daripada perniagaan pendapatan berulangnya seperti terminal pertengahan,” katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.
Mengenai prospek masa depan, kumpulan itu berkata ia akan terus membangunkan Terminal Laut Dalam Pengerang (PDT) untuk pemain minyak, gas dan petrokimia yang dikenal pasti dapat meningkatkan pertumbuhan permintaan Asia Pasifik dalam tempoh 30 tahun akan datang.
“PDT meneruskan tawaran cadangan nilai yang menarik untuk penubuhan operasi hab strategik memandangkan lokasinya yang ideal dan tawaran hab bersepadu sehenti,” katanya.
Menerusi fasa satu dan dua PDT yang telah beroperasi, ia berkata, perjanjian penyimpanan jangka panjang yang termaktub dengan BP Singapore Pte Ltd bagi fasa tiga akan menjadi satu lagi peristiwa penting dan dijangka menjadi pemangkin untuk pembangunan PDT selanjutnya pada tahun-tahun akan datang.
Ia menambah kumpulan itu tetap yakin bahawa prestasinya akan menguntungkan bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun, 2021.
Pada penutup dagangan hari ini, saham Dialog jatuh dua sen kepada RM2.88, dengan 6.15 juta saham diniagakan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial