EKONOMI

Industri insurans dan takaful tambah RM2 juta ke dalam Tabung Saringan Covid-19

11/05/2021 09:40 PM

KUALA LUMPUR, 11 Mei -- Industri insurans dan takaful telah membuat penambahan sebanyak RM2 juta ke dalam RM8 juta sedia ada, Tabung Saringan COVID-19 (CTF).

Persatuan Insurans Hayat Malaysia (LIAM), Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) dan Persatuan Takaful Malaysia (MTA) dalam satu kenyataan bersama berkata sejak dilancarkan pada Mac tahun lepas, CTF telah memberi manfaat kepada lebih 42,000 pemegang polisi atau sijil, melepasi anggaran awal seramai 27,000 orang.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) LIAM, Mark O'Dell berkata industri itu telah berjanji untuk menambah RM2 juta lagi kepada CTF selepas mengambil kira peningkatan semasa kes COVID-19 dan bagi membolehkan lebih ramai rakyat Malaysia menjalani ujian saringan.

"Dengan dana tambahan RM2 juta itu, kami berharap dapat menggalakkan lebih ramai orang untuk menjalani ujian bagi mengurangkan jangkitan, memberi manfaat kepada 20,000 pemegang polisi atau sijil di negara ini.

"Pemegang polisi atau sijil dinasihatkan untuk mengemukakan tuntutan ujian mereka kepada CTF secepat mungkin. Tuntutan ini akan dipertimbangkan atas dasar siapa cepat dia dapat sehingga dana CTF digunakan sepenuhnya," katanya. 

Pembayaran balik CTF setakat ini hampir mencecah RM8 juta.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PIAM, Julie Chong berkata pelbagai langkah bantuan dan kewangan telah diperluaskan kepada pemegang polisi atau sijil yang terjejas untuk menghadapi kesan kewangan, mental serta sosial akibat pandemik COVID-19.

"Ini termasuk manfaat pelepasan tunai untuk pelanggan yang didiagnosis dengan COVID-19, elaun tunai bagi kemasukan ke hospital (RM150-RM250 sehari selama 30 hari kemasukan ke hospital) dan faedah kematian khas sekaligus (antara RM5,000-RM20,000 apabila berlaku kematian orang yang diinsuranskan/dilindungi)," katanya. 

CTF yang dilancarkan untuk menyokong usaha kerajaan dalam menjalankan lebih banyak ujian ke atas rakyat Malaysia yang terdedah kepada virus COVID-19, menyediakan pembayaran balik tunai daripada RM50 sehingga RM300 setiap ujian. 

Maklumat lanjut mengenai permohonan tuntutan ujian COVID-19 boleh didapati melalui www.myctf.my.

-- BERNAMA 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan