EKONOMI

Industri acara perniagaan di Pulau Pinang peroleh RM66.2 juta pada 2020

07/05/2021 11:38 AM

GEORGE TOWN, 7 Mei -- Walaupun tahun 2020 menyaksikan situasi sukar, industri acara perniagaan di Pulau Pinang berjaya mencapai anggaran nilai impak ekonomi (EEI) sebanyak RM66.2 juta tahun lepas, demikian menurut  Biro Konvensyen dan Pameran Pulau Pinang (PCEB).

Menurut tinjauan tahunan terbaru PCEB, EEI pada tahun 2020 adalah 96 peratus lebih rendah berbanding tahun 2019 yang mencatatkan jumlah EEI sebanyak RM1.5 bilion.

Ketua Pegawai Eksekutif PCEB G. Ashwin berkata 156 acara perniagaan diadakan di Pulau Pinang tahun lepas dan berjaya menarik 19,283 perwakilan.

Beliau berkata sejumlah acara telah disusun untuk tahun 2020 memandangkan Pulau Pinang telah memenangi beberapa bidaan untuk menganjurkan persidangan bertaraf dunia.

"Namun begitu, beberapa insiden tidak dijangka telah berlaku seperti pandemik COVID-19 yang memberi kesan  besar kepada ekonomi dan mempengaruhi rancangan dan sasaran kami," katanya.

Beliau turut maklum daripada 156 acara perniagaan yang diadakan tahun lepas, hanya tujuh daripadanya melibatkan kedatangan antarabangsa, yang menyumbang jumlah EEI sebanyak RM22.21 juta.

"Satu-satunya ketibaan antarabangsa di Pulau Pinang dicatat dalam dua bulan pertama tahun 2020. Sempadan (perjalanan antarabangsa) masih ditutup sejak Mac 2020," katanya.

Sementara itu, Ashwin menyatakan PCEB komited untuk mengambil tindakan yang lebih berkesan serta berdaya maju untuk membangun kembali dan memperkasakan industri acara perniagaan dan pada masa sama terbuka untuk idea inovatif dan pragmatik daripada rakan industri mereka.

"Kita perlu ingat bahawa industri acara perniagaan dibangun berdasarkan prinsip kolaborasi dan sekarang lebih daripada sebelumnya, kita harus memanfaatkan kekuatan industri ini dengan bijak dan menggunakan setiap jalan yang berpotensi sehingga kita dapat menemukan peluang untuk berniaga bersama," katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan