AM

Permintaan meningkat menjelang syawal, pengusaha hasilkan 30,000 biji kelupis sejuk beku

06/05/2021 04:40 PM

PAPAR, 6 Mei  -- Seorang pengusaha kelupis, sejenis makanan tradisi berasaskan pulut, Nurelyana Shafiqah Alitus Abdullah, 38, tidak menyangka rezekinya semakin bertambah berlipat kali ganda pada Ramadan dan menjelang Syawal ini sehingga perlu menyiapkan kira-kira 30,000 biji kelupis bagi memenuhi permintaan.

Pemilik produk kelupis sejuk beku jenama ‘Sasaban’ sejak 2019 itu berkata ini adalah pengalaman pertamanya menghasilkan kelupis dengan jumlah sebanyak itu kerana sebelum ini perniagaannya hanya secara kecil-kecilan dan baru sahaja berjaya menembusi pasar raya tempatan pada Oktober tahun lepas.

Bekas eksekutif kewangan di sebuah syarikat minyak dan gas di Labuan itu berkata lazimnya beliau hanya menghasilkan 3,000 hingga 4,000 biji kelupis sahaja sepanjang Ramadan dan Syawal, namun, permintaan pada tahun ini menyaksikan peningkatan sehingga 10 kali ganda berbanding tahun-tahun sebelumnya.

“Sejak produk kelupis sejuk beku keluaran syarikat saya berjaya dijual di sembilan cawangan Pasaraya Bataras di sekitar Kota Kinabalu, Keningau, Ranau dan Papar pada penghujung Oktober tahun lepas, saya mula menghasilkan secara purata sebanyak 10,000 biji kelupis sebulan.

“Namun, permintaan semakin bertambah dan memerlukan saya bersama empat pembantu menyediakan sehingga 30,000 biji kelupis untuk memastikan bekalan mencukupi di pasar raya berkenaan sepanjang Ramadan dan menjelang Syawal ini,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kimanis, dekat sini.

Menceritakan kembali detik permulaan berkecimpung dalam bidang produk makanan sejuk beku, ibu kepada tiga anak lelaki berumur antara lapan hingga 12 tahun itu berkata selepas berhenti kerja, beliau mengambil keputusan untuk memulakan perniagaan menjual kelupis kerana yakin akan ada permintaan.

Ini berikutan kelupis, makanan tradisional yang cukup sinonim dengan masyarakat di pantai barat Sabah khususnya suku kaum Brunei itu, merupakan hidangan wajib bukan sahaja pada musim perayaan tetapi juga kenduri serta majlis perkahwinan, katanya.

Beliau berkata antara bahan-bahan diperlukan bagi menghasilkan makanan tradisi itu ialah beras pulut dan santan sebagai bahan utama, manakala garam serta daun pandan pula bagi menaikkan lagi rasa dan aroma kelupis yang kemudian dimasak sekitar satu jam sebelum dibungkus menggunakan daun irik.

Nurelyana yang belajar membuat kelupis daripada bapanya Alitus @ Mohd Aidy Nuating, 61, itu berkata pada mulanya, beliau membuat percubaan menjual produk kelupis sejuk beku dalam kalangan ahli keluarga serta penduduk kampung berhampiran sebelum mengorak langkah memasarkannya sendiri menerusi Facebook.

“Saya memilih kelupis sebagai produk perniagaan makanan sejuk beku kerana ingin memudahkan orang ramai yang mahu menikmati juadah istimewa ini pada bila-bila masa walaupun bukan pada musim perayaan atau kenduri dan majlis perkahwinan sahaja.

“Penggemar kelupis tidak perlu lagi bersusah payah melalui pelbagai langkah untuk menghasilkannya, sebaliknya hanya perlu pergi ke pasar raya untuk mendapatkan produk ini,” katanya yang juga bekas graduan jurusan Kewangan dan Perbankan Antarabangsa, Universiti Malaysia Sabah kampus Labuan.

Melihat produk itu berpotensi untuk dikembangkan, Nurelyana kemudian mengintai peluang dengan mengikuti kursus pembangunan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) anjuran Pihak Berkuasa Pembangunan Ekonomi dan Pelaburan Sabah; Sabah Agro-Industrial Precinct; dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan.

“Produk saya berjaya menembusi pasaran juga adalah hasil program Fast Track anjuran Jabatan Pembangunan Perindustrian dan Penyelidikan Sabah bersama pihak Pasaraya Bataras. Saya bersyukur kerana selepas beberapa fasa tapisan, produk kelupis sejuk beku ‘Sasaban’ terpilih untuk dijual di pasar raya itu,” katanya.

Bagi tempoh dua tahun akan datang, Nurelyana bercadang memiliki sebuah kilang dan bengkel bagi meningkatkan lagi pengeluaran produknya memandangkan kini beliau hanya beroperasi dari rumah, selain mengikuti lebih banyak kursus dan latihan pembangunan kualiti produk.

Selain itu, beliau juga berharap akan dapat menjadikan pengeluaran produk kelupis sejuk beku sebagai satu industri di Kimanis bagi membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada penduduk kampung berhampiran terutama dalam kalangan suri rumah.

Kelupis sejuk beku ‘Sasaban’ dijual pada harga RM19.90 dengan satu pek seberat 1.2 kilogram mempunyai 24 biji kelupis, manakala harga kilang sebanyak RM18.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan