DUNIA > BERITA

Stok Beras Negara Indonesia Capai Rekod Tertinggi Lebih 4 Juta Tan

31/05/2025 08:52 AM

JAKARTA, 30 Mei (Bernama-Xinhua) -- Stok beras Indonesia mencatat pencapaian bersejarah apabila melepasi paras 4 juta tan setakat Khamis, iaitu jumlah tertinggi yang pernah direkodkan sejak penubuhan syarikat makanan negara, Perum Bulog pada 1969.

Menteri Pertanian Andi Amran Sulaiman menyifatkan kejayaan ini sebagai hasil langsung daripada arahan Presiden Prabowo Subianto yang secara konsisten menggalakkan pengeluaran beras dalam negara. Beliau menjelaskan bahawa kejayaan itu turut dipacu oleh harga pembelian kerajaan semasa yang menguntungkan petani.

“Petani kini menikmati harga jualan yang menguntungkan, walaupun semasa musim menuai utama,” katanya dalam satu kenyataan, menurut laporan Xinhua.

Di negara Asia Tenggara itu, beras adalah antara komoditi yang paling diawasi dan dikawal ketat, memandangkan ia adalah makanan ruji utama rakyat dari segi penggunaan. Stok simpanan negara membolehkan kerajaan campur tangan melalui operasi pasaran bagi mengawal harga beras domestik.

Menurut data Statistik Indonesia, pengeluaran beras negara sepanjang tempoh Januari hingga Mei tahun ini dianggarkan mencecah 16.55 juta tan, peningkatan sebanyak 11.95 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Setakat akhir bulan ini, Perum Bulog telah membeli lebih 2.4 juta tan beras tempatan. Menurut Kementerian Pertanian, angka itu meningkat lebih 400 peratus berbanding purata pembelian dalam tempoh sama lima tahun lepas, iaitu sekitar 1.2 juta tan.

Menteri itu juga menyatakan kesediaan Indonesia untuk mengeksport beras ke negara anggota ASEAN selagi stok dalam negara kekal mencukupi.

“Arahan daripada presiden membolehkan kami menyediakan beras untuk negara sahabat, terutamanya negara jiran, yang memerlukan bekalan beras,” katanya.

-- BERNAMA-XINHUA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan