Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Hotel Sama-Sama KLIA Rai Hari Kaamatan Dan Hari Gawai Dengan Rumah Terbuka Budaya

31/05/2025 08:59 AM

Oleh Samantha Tan Chiew Tieng

SEPANG, 31 Mei (Bernama) -- Hotel Sama-Sama Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini menghidupkan warna-warni budaya Malaysia Timur dengan menganjurkan rumah terbuka budaya sempena sambutan Hari Kaamatan dan Hari Gawai, dua perayaan menuai yang diraikan di Sabah dan Sarawak.

Terletak di lokasi strategik bersebelahan dengan KLIA, Hotel Sama-Sama berfungsi sebagai tempat yang mengalu-alukan kedatangan pelancong dari seluruh dunia.

Pengurus Besar Hotel Sama-Sama KLIA Sundra Kulendra berkata menerusi penganjuran acara yang mengetengahkan keunikan budaya Malaysia Timur itu, hotel berkenaan menyerlahkan kepelbagaian warisan Malaysia, sekali gus memastikan para pengunjung dapat merasai identiti budaya tersendiri.

Beliau turut meluahkan rasa bangga dengan menganjurkan acara berkenaan dan berkata sebagai hotel lapangan terbang, Hotel Sama-Sama antara lokasi pertama yang akan dilihat oleh pelancong sebaik sahaja mereka tiba di Malaysia.

“Menjadi tanggungjawab dan penghormatan kami untuk menampilkan kepelbagaian budaya di Malaysia. Sambutan Hari Kaamatan dan Hari Gawai memberi peluang kepada kita menghargai keunikan tradisi Malaysia Timur serta berkongsi keindahannya dengan khalayak yang lebih luas,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Ad Banner

Sundra berkata acara itu turut menjadi sebahagian daripada usaha hotel mempromosikan Tahun Melawat Malaysia 2026.

“Kami akan terus membawa masuk lebih banyak elemen destinasi yang menarik untuk diketengahkan kepada para pelancong,” tambahnya.

Acara yang berlangsung di pekarangan hotel bersebelahan KLIA itu bertukar menjadi pentas pameran budaya yang meriah, menyambut kehadiran tetamu tempatan mahupun antarabangsa.

Para pengunjung dihiburkan dengan persembahan tradisional termasuk tarian Sumazau dari Sabah, tarian Ngajat dari Sarawak, tarian buluh yang bertenaga serta demonstrasi penggunaan sumpit yang mengagumkan.

Menambah sentuhan moden, individu berpakaian tradisional mengikut saiz sebenar kaum Kadazan dan Iban turut dipamerkan di sekitar lokasi acara, membolehkan para tetamu merakam gambar dan secara tidak langsung menyelami keunikan budaya Borneo.

Hotel Sama-Sama KLIA yang dikendalikan oleh KL Airport Hotels Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), menawarkan penginapan premium yang dihubungkan terus ke Terminal 1 KLIA melalui jejantas berbumbung serta perkhidmatan kereta bugi percuma 24 jam.

-- BERNAMA 


 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan