AM

Perkhidmatan kereta sewa terjejas, Reza beralih jual ayam organik

30/04/2021 11:45 AM

PAPAR, 30 April -- Biarpun perkhidmatan kereta sewa yang diusahakannya sejak tujuh tahun lepas terpaksa ‘gulung tikar’ berikutan penularan pandemik COVID-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), namun ia tidak menghalang Mohamad Ali Reza Saindil untuk beralih kepada perniagaan ayam organik secara kecil-kecilan.

Ibarat patah tumbuh hilang berganti, usahawan muda yang mesra dengan panggilan Reza tidak mahu terus kecewa dengan nasib dialaminya sebaliknya bangkit memulakan perniagaan ayam organik jenama sendiri iaitu Darisa di Jalan Kampung Laut, Kampung Benoni dekat sini dengan modal permulaan RM7,000 pada Februari lepas.

“Perniagaan kereta sewa terjejas dan merosot susulan PKP sehingga pada akhirnya beberapa buah kereta terpaksa dijual. Hasil daripada penjualan itu saya gunakan untuk memulakan perniagaan ayam organik ini. Saya kemudian mengikuti kursus asas penternakan ayam di Putatan pada Oktober tahun lepas.

“Saya bersyukur kerana selama dua bulan beroperasi sambutan daripada pelanggan sangat menggalakkan dan saya boleh menjana pendapatan hasil penjualan ayam organik sehingga RM300 sehari. Alhamdulillah, sudah dapat balik modal,” kata usahawan berusia 38 tahun itu ketika ditemui Bernama di kedainya, baru-baru ini.

Bapa kepada dua orang anak masing-masing berusia empat tahun dan tujuh bulan itu berkata idea menceburi bidang perniagaan ayam organik timbul kerana anak keduanya mempunyai alahan terhadap ayam dalam makanannya dan disaran mengambil ayam organik.

Selain itu, beliau mengambil peluang memandangkan perniagaan ayam organik mempunyai potensi besar untuk dikembangkan dalam pasaran Sabah, selain masih belum ramai menceburi bidang berkenaan di negeri ini.

“Permintaan ayam organik sangat menggalakkan dan paling ketara ketika bulan Ramadan ini sehingga ada pelanggan yang membuat tempahan berulang. Selain itu, ramai juga telah membuat tempahan awal untuk sambutan Hari Raya nanti,” katanya.

Reza berkata setakat ini beliau mendapatkan bekalan dari sebuah ladang ternakan ayam organik diusahakan oleh Bumiputera muslim di Keningau, dengan dianggarkan kira-kira 200 ekor sebulan bagi memenuhi permintaan pelanggan sekitar Papar.

Bagi mengelakkan penularan COVID-19, Reza menyarankan para pelanggannya membuat tempahan yang dibuka tiga kali seminggu iaitu pada Isnin, Rabu dan Sabtu atau Ahad secara dalam talian kerana perkhidmatan penghantaran disediakan, selain beliau menghantar sendiri tempahan kepada pelanggan tanpa sebarang caj.

“Saya berhasrat untuk membuka sebuah ladang ternakan ayam organik sendiri dan mahu jenama Darisa diperluas ke seluruh Sabah. Mungkin tidak mudah, tetapi saya akan terus berusaha mencapai impian ini,” katanya, yang mengajak lebih ramai belia untuk mencari kelainan dalam perniagaan agar dapat berkembang maju.

Ayam organik Darisa dijual pada harga RM18 sekilo dan orang ramai khususnya sekitar Papar yang berminat boleh membuat tempahan menerusi WhatsApp di talian 012-869 6967 atau Facebook Darisa Ayam Organik.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan