SHAH ALAM, 26 Jun (Bernama) -- Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah agar umat Islam menjadikan tahun baharu Hijrah sebagai medan memperbaharui tekad untuk menjadi muslim yang lebih baik, bersifat rahmah serta menyemai erti sebenar ukhuwah dan kasih sayang sesama insan.
Dalam titah perutusan di Facebook Selangor Royal Office, baginda mengingatkan bahawa dalam meniti cabaran dunia yang penuh fitnah dan kegelisahan hari ini, rakyat diseru agar tidak bertelagah hanya disebabkan oleh perbezaan pandangan atau kecenderungan.
“Islam mengajar kita bahawa kekuatan umat itu lahir daripada kesatuan, bukan perpecahan. Jangan kita biarkan api kebencian dan dendam memusnahkan keharmonian yang kita bina selama ini.
“Lebih mendukacitakan, budaya mengadu domba, menyebar fitnah dan mencerca sesama sendiri semakin menjadi kebiasaan. Rasulullah SAW mengajarkan kita menjaga lisan, kerana lidah yang tajam adalah lebih parah dari mata pedang,” titah baginda.
Selain itu, baginda bertitah budaya saling menjatuhkan dan mencari salah juga perlu dihentikan sebaliknya nasihati dengan lembut serta berhemah bagi memastikan ukhuwah tetap terpelihara.
Sultan Selangor juga menyeru umat Islam agar tidak bersikap berlagak menjadi hero atau merasa diri terlalu hebat sehingga menafikan hak dan sumbangan orang lain.
Baginda bertitah sifat itu hanya mencemarkan keikhlasan dalam perjuangan kerana kesombongan bukan tanda kekuatan tetapi kelemahan jiwa yang belum tunduk sepenuhnya kepada Allah SWT.
Sultan Sharafuddin bertitah umat Islam harus mengamalkan adab serta kebijaksanaan ketika menegur dan bukannya melontarkan teguran berbentuk penghinaan seterusnya bertukar menjadi cercaan.
“Tegurlah saudara kita dengan penuh kasih sayang kerana tujuan teguran bukanlah untuk memalukan tetapi untuk memperbaiki. Teguran yang lahir dari hati yang jujur akan meresap ke hati yang bersih.
“Akhir kata, beta menyeru sekalian umat Islam supaya menyambut tahun baharu Hijrah ini dengan jiwa yang segar dan hati yang suci.
"Semoga setiap daripada kita diberi kekuatan untuk berhijrah ke arah lebih baik, baik dalam solat dan ibadah, dalam hubungan sesama manusia, dalam tanggungjawab sebagai warganegara dan sebagai umat Islam,” titah baginda.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial