KOTA BHARU, 14 Nov -- ‘Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing, begitulah boleh diibaratkan kerjasama 140 nelayan tradisional di Kampung Pulau Gajah, Pantai Sabak, dekat sini, yang bergotong-royong menarik bot atau perahu kolek mereka ke daratan untuk 'direhatkan', sebelum musim tengkujuh yang akan melanda negara ini.
Aktiviti gotong royong itu dilakukan kerana mengambil maklum ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) sebelum ini, yang menjangkakan empat hingga enam episod hujan lebat akan berlaku dalam tempoh Monsun Timur Laut atau musim tengkujuh di negara ini, bermula awal November ini hingga Mac 2021.
Ketika ditemui Bernama di lokasi gotong-royong itu hari ini, Ketua Jaringan Perikanan di Kampung Pulau Gajah Nik Ruzulaili Nik Yusof berkata aktiviti menarik bot yang beratnya antara empat hingga lima tan itu, dilakukan ketika air pasang beramai-ramai bagi memudahkan para nelayan menaik bot mereka ke daratan tanpa merosakkan strukturnya.
Jelasnya, sepanjang bot berada di daratan, para nelayan juga akan bergotong-royong membaiki kerosakan, mengecat semula bot serta membaiki pukat, sebagai persiapan sebelum kembali ke laut untuk mencari rezeki, selepas berakhirnya musim tengkujuh.
“Proses seperti ini biasanya dilakukan sekali dalam setahun. Biasanya hampir seluruh penduduk di sini akan keluar bergotong royong,” katanya sambil memberitahu 27 daripada 30 bot sudah ditarik ke darat setakat ini, manakala proses menarik tiga bot lagi dilakukan esok.
Sementara itu, seorang nelayan Mat Daud Mohamad, 62, pula berkata gotong royong mengangkat bot ke daratan memang sudah dilakukan sejak berpuluh tahun, bagi mengelakkan para nelayan mengalami kerugian akibat kerosakan bot yang tidak diingini.
Malah, Mat Daud berkata ada antara bot di kawasan kampung itu sudah mencecah usia 100 tahun dan harga setiap satunya adalah antara RM22,000 hingga RM40,000.
“Ketika inilah bot yang direhatkan itu akan dibaiki segala kerosakan yang ada, termasuk ditukar kayu dan dicat semula sebelum kembali ke laut empat bulan kemudian. Kami biasanya, menutup bot menggunakan kain kanvas atau khemah, bagi mengelak kerosakan apatah lagi sekiranya kerap terdedah kepada hujan dan cahaya matahari.
“Di bawah khemah inilah bot akan dibaiki dan selama tempoh musim tengkujuh ini, kami terpaksa berehat. Mungkin ada nelayan yang bertukar kerja sebagai buruh di mana-mana tapak pembinaan bagi menampung pendapatan yang terjejas,” katanya.
Sakri Mat, 51, berkata akan melakukan pelbagai kerja lain buat sementara untuk menyara kehidupan keluarganya sepanjang 'bercuti' daripada menjadi nelayan, yang telah menjadi sumber pendapatannya sejak berusia 15 tahun.
“Memanglah jika dilihat dengan mata kasar kebanyakan nelayan pada musim tengkujuh seolah-oleh 'goyang kaki', namun tiada siapa yang mengetahui apa sebenarnya dalam fikiran kami, apatah lagi di waktu negara dilanda pandemik COVID-19,” luahnya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial