AM

Mangsa Bot Terbalik Dakwa Pemandu Enggan Berikan Jaket Keselamatan

30/06/2025 05:34 PM

BUTTERWORTH, 30 Jun (Bernama) -- Pemandu bot yang terbabit dalam tragedi mengorbankan tiga penumpang di Pulau Perhentian pada Sabtu lepas didakwa enggan memberikan jaket keselamatan meskipun telah berkali-kali diminta.

S. Sanggetha, 39, yang juga isteri kepada S. Arumugam yang maut bersama anak bongsu mereka Sarrvhika, 3, berkata ketika kejadian bot berkenaan dinaiki empat keluarga terdiri daripada tujuh dewasa dan lapan kanak-kanak.

Beliau memberitahu mereka dalam perjalanan pulang dari Pulau Perhentian Kecil ke tempat penginapan di Pulau Perhentian Besar selepas selesai makan malam sekitar pukul 9 malam, dan ketika itu cuaca juga seperti hendak hujan, sekali gus membuat keputusan untuk balik ke tempat penginapan kerana masing-masing mempunyai ramai anak kecil.

“Masa naik bot itu, kami minta jaket keselamatan daripada pemandu tapi dia cakap (jaket) basah, tak boleh bagi lagipun perjalanan sekejap saja. Dia cakap 10 hingga 15 minit.

“Kemudian suami dan tiga pasangan minta lagi (jaket keselamatan) tetapi pemandu itu tetap cakap tak boleh. Dia kata dah separuh perjalanan dan dah nak sampai ke resort. Masa itu hujan sudah mulai lebat macam ribut,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Taman Bayu Indah di sini hari ini.

Sanggetha berkata bot dinaiki mereka terumbang-ambing sebelum dipukul ombak, lalu terbalik dan dia memegang erat tangan anak perempuan sulung Hirsshika, 9, dan suaminya memegang anak bongsu, manakala rakan-rakan lain bersama ahli keluarga mereka sudah tidak kelihatan berikutan keadaan sangat gelap.

“Saya tak tahu anak saya hidup atau tak masa itu. Saya sendiri pun tak boleh berenang, saya hanya pegang dia kuat-kuat dan tiba-tiba terdengar jeritan seorang lelaki yang berada di atas bot yang diparkir menghulurkan tangan menyelamatkan saya dan anak,” katanya sambil menahan sebak.

Sanggetha berkata pada masa sama, beliau melihat kawasan itu sudah dipenuhi orang ramai yang membantu menyelamatkan mangsa-mangsa lain dan beranggapan suami serta anak bongsunya juga terselamat.

Bagaimanapun, beliau yang menghubungi seorang daripada rakan karib suaminya dimaklumkan mangsa dan anaknya meninggal dunia bersama seorang lagi kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun. 

“Kami pergi ke sana pada Jumaat dan sepatutnya pulang pada pagi Ahad. Semua dalam kumpulan ini adalah kawan baik suami sejak di bangku sekolah.

“Kami pertama kali ke sini meraikan ulang tahun ke-40 mereka… semua mereka sangat gembira tetapi tak sangka berakhir begini,” katanya, sambil mengakui masih dalam keadaan trauma dan belum membuat keputusan untuk tindakan lanjut.

Terdahulu, Sanggetha menerima kunjungan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Alam Sekitar Pulau Pinang Datuk Seri S. Sundarajoo yang hadir bagi memberikan penghormatan terakhir kepada mendiang.

Mendiang Arumugam yang juga jurutera kanan sebuah syarikat swasta dan anak perempuannya disemadikan di Kubur India Jalan Siram di sini petang ini. 

Sementara itu, Sundarajoo menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa terlibat dan menggesa tindakan tegas diambil terhadap syarikat pengendali bot itu supaya kejadian sama tidak berulang.

“Ini adalah tragedi menyayat hati dan sepatutnya boleh dielakkan jika langkah keselamatan diambil. Saya harap kerajaan ambil tindakan dan jika didapati berlaku pelanggaran peraturan, tarik balik lesen mereka,” katanya.

Terdahulu, dalam kejadian itu, Arumugam dan anaknya Sarrvinka serta seorang lagi kanak-kanak perempuan V. Vennpani maut manakala dua mangsa masih dirawat di hospital termasuk seorang kritikal dan 10 lagi terselamat.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan