KUALA LUMPUR, 1 Sept -- Saranan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri untuk menangguhkan pembukaan sempadan negara bagi aktiviti pelancongan sehingga pertengahan tahun depan dilihat mampu merancakkan ekonomi negara melalui perbelanjaan domestik.
Presiden Agensi Pelancongan Malaysia (MATA) Datuk Mohd Khalid Harun berkata langkah itu juga dilihat perlu bagi mengekang penularan pandemik COVID-19 di negara ini.
“Bagaimanapun, bagi merancakkan lagi pelancongan domestik, kerajaan dan agensi pelancongan kerajaan negeri sewajarnya memberikan insentif khusus kepada semua penggiat industri pelancongan dan tidak hanya kepada pemandu pelancong atau pemandu pengangkutan pelancongan sahaja.
"Galakan sepatutnya diberikan juga kepada syarikat agensi pelancongan, hotel dan sebagainya yang terjejas teruk sepanjang (pelaksanaan) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” menurutnya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata pada masa sama, MATA menggalakkan ahlinya yang sebelum ini hanya menawarkan pakej ke luar negara untuk beralih kepada mempromosi pakej dalam negara.
Ia termasuk mengadakan pengenalan pembangunan produk domestik melalui 'familiarisation trip' ke lokasi pelancongan terbaharu dalam negara.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial