AM

3,173 KERTAS SIASATAN KESALAHAN TATATERTIB PEGAWAI, ANGGOTA POLIS JAN 2019-JUN 2020

05/08/2020 04:47 PM

ALOR SETAR, 5 Ogos -- Sebanyak 3,173 kertas siasatan berkaitan kesalahan tatatertib pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah dibuka oleh Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) bagi tempoh Januari 2019 sehingga Jun lepas.

Pengarah JIPS Datuk Zamri Yahya berkata daripada jumlah kertas siasatan yang dibuka di peringkat Bukit Aman dan Kontinjen itu, sebanyak 1,673 telah selesai manakala 1,300 lagi masih dalam tindakan.

"Kalau kesalahan jenayah, tindakan buang kerja boleh dikenakan tetapi kalau melibatkan kesalahan umum, kita akan beri surat amaran dan jika kesalahan dilakukan secara berterusan, tindakan tegas akan terus diambil," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Zamri berkata walaupun tindakan tegas telah diambil, masih ada segelintir yang melakukan kesalahan tatatertib dan lebih membimbangkan apabila ada antara mereka yang terlibat dengan penyalahgunaan dadah.

“Bagi tempoh Januari 2019 hingga Jun tahun ini sebanyak 91 kes penyalahgunaan dadah telah dicatatkan. Jadi, tindakan tegas perlu terus diambil bagi menjaga nama baik dan integriti PDRM,” katanya.

Ketika ditanya mengenai perkembangan penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC), beliau berkata usul berkaitan perkara itu akan dibawa ke Parlimen pada 8 Ogos ini namun isi kandungan usul berkenaan tidak boleh didedahkan lagi.

Terdahulu, Zamri menghadiri majlis serah terima tugas Ketua Polis Kedah yang baharu di antara Datuk Zainuddin Yaacob dengan Datuk Hasanuddin Hassan yang berlangsung di Dewan Tan Sri Khalid, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah.

Hasanuddin, 59, yang berasal dari Kelantan mula menyertai PDRM pada 1985 dan telah berkhidmat dalam pasukan itu selama 35 tahun.

“Saya akan beri fokus dari semua sudut bagi memastikan kes jenayah di Kedah berkurangan, kalau nak sampai tahap sifar jenayah memang sukar tetapi tidak mustahil ia dapat dicapai. Selain itu, antara fokus utama lain yang akan diberi perhatian ialah berkaitan sempadan di negeri ini,” katanya.

Sementara itu, Zainuddin, 59, yang dilantik sebagai pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman berkata dalam tempoh hampir dua tahun menggalas tugas Ketua Polis Kedah, kadar jenayah di negeri ini berjaya dikurangkan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan