AM

Orang ramai diseru patuh PKPB, tingkatkan disiplin sosial cegah COVID-19 -- Noor Hisham

05/05/2020 08:42 AM

KUALA LUMPUR, 5 Mei -- Kepatuhan orang ramai serta disiplin sosial amat penting bagi mencapai matlamat untuk memutuskan rantaian jangkitan COVID-19 dalam komuniti, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau turut menyeru orang ramai agar mengamal serta membudayakan kelaziman baharu dalam kehidupan seharian bagi mencegah penularan pandemik maut itu di negara ini.

"Kita perlu mengamalkan dan membudayakan kelaziman baharu dalam kehidupan seharian kita seperti penjarakan sosial, mengelak (mengadakan dan menyertai) perhimpunan, pastikan sentiasa basuh tangan dengan air dan sabun serta sangat digalakkan memakai penutup mulut dan hidung di tempat awam.

"Ini adalah tanggungjawab sosial dan kita perlu menjaga diri sendiri, keluarga serta komuniti. Sila duduk rumah jika tiada urusan penting di luar," katanya dalam satu pesanan khidmat masyarakat yang disiarkan oleh semua stesen televisyen tempatan.

Noor Hisham turut mengajak seluruh rakyat agar mematuhi pelaksanaan arahan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) iaitu kelonggaran diberikan untuk membuka semula hampir semua sektor ekonomi secara berhati-hati dan terkawal.

Katanya peniaga, pengusaha dan majikan perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) serta syarat yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan