AM

Syarikat keselamatan di Sarawak rancang tubuh persatuan

23/12/2019 04:16 PM

KUCHING, 23 Dis -- Sebanyak 15 syarikat keselamatan yang berpangkalan di Sarawak sedang menggerakkan usaha bagi menubuhkan sebuah persatuan yang disasar berusaha untuk memperjuangkan kepentingan pemain-pemain industri serta tenaga kerja sektor berkenaan di Sarawak.

Pengerusi jawatankuasa sementara Abdul Hassan Bakong berkata menerusi persatuan yang akan dikenali sebagai Persatuan Kebajikan Syarikat Kawalan Keselamatan Persendirian dan Swasta Sarawak itu, mereka berharap lebih banyak syarikat-syarikat perhidmatan keselamatan yang berpangkalan di Sarawak akan mendapat kontrak kerja, terutama dari kerajaan Persekutuan.

“Ketika ini cabaran kami dalam mendapatkan kontrak-kontrak ini bergantung kepada syarat-syarat yang ditetapkan oleh pihak berkuasa yang mengeluarkan tender kerja, dan biasanya ia tidak memberikan banyak kelebihan kepada kami, namun kami berharap dengan penubuhan pertubuhan itu nanti, kita boleh bekerjasama melonggarkan syarat-syarat ini,” katanya pada satu persidangan bagi media mengumumkan penubuhan jawatankuasa sementera itu di sini.

Beliau berkata walaupun mereka yang dalam jawatankuasa sementara itu sudahpun menjadi anggota Persatuan Industri Keselamatan Malaysia (PIKM), namun beliau berpandangan persatuan di peringkat negeri akan menjadi wadah lebih efektif bagi menyuarakan hasrat mereka dalam memperbaiki prosedur pemberian kontrak yang berkaitan dengan industri itu.

"Namun kita tetap akan terus bekerjasama seiring dengan PIKM sebagai badan kebangsaan terutama dalam membantu mencapai matlamat meningkatkan prestasi industri dan mewujudkan keadilan serta kesaksamaan buat semua yang terlibat dalam industri ini,” tambahnya.

Sementara itu setiausaha jawatankuasa sementara berkenaan, Idris Putit berkata perkhidmatan keselamatan adalah industri yang besar di Sarawak, yang menawarkan lebih 10,000 peluang pekerjaan dan masih terus pesat berkembang.

“Pada pandangan kami industri ini tidak memerlukan pembabitan tenaga kerja asing di Sarawak buat masa ini, kerana ia menawarkan peluang yang cukup (untuk pekerja) tempatan,” katanya.

Menurutnya hasrat untuk menubuhkan persatuan itu menerima maklum balas yang positif daripada Pendaftar Persatuan, dan beliau percaya permohonan bagi penubuhan persatuan itu tidak akan berhadapan dengan apa-apa kesulitan.

Beliau berkata sebaik sahaja mendapat kelulusan, mereka akan mula berusaha menghimpunkan lebih ramai anggota, sebaik sahaja mesyuarat agung tahunan (AGM) yang sulung diadakan.

“Kita (di masa hadapan) mungkin menimbangkan usaha membuka keanggotaan kepada syarikat-syarikat keselamatan di luar Sarawak sebagai anggota bersekutu, yang bermakna mereka boleh berucap di (AGM), tapi tidak layak untuk dicalon atau undi dalam pemilihan persatuan,” tambahnya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan