KOTA KINABALU, 14 Dis -- Sebuah Pusat Pendidikan Alam Sekitar dan Informasi Pelancong perlu diwujudkan di daerah Inanam, dalam usaha meningkatkan pengetahuan masyarakat berhubung alam sekitar.
Pembantu Menteri Kewangan Sabah, Kenny Chua berkata pusat seumpama itu penting bagi memudahkan masyarakat di kawasan itu mendapat maklumat penjagaan alam sekitar khususnya sekitar Banjaran Crocker selain menjana sosio ekonomi melalui ekopelancongan.
"Kita akan berusaha untuk mendapatkan kerjasama daripada pihak yang berkaitan untuk membina pusat makumat itu bagi kawasan Inanam agar masyarakat di sini mendapat pendidikan berterusan berkenaan alam sekitar," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Jelajah Taklimat dan Pameran Rizab Biosfera Banjaran Crocker 2019 di pusat rekreasi Air Terjun Kiansom, di sini, hari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Inanam itu berkata projek menanam pokok dan restorasi kawasan sungai juga akan ditingkatkan bagi menjamin kualiti pemuliharaan alam sekitar di daerah itu.
Katanya daerah Inanam yang terletak dalam rizab biosfera Banjaran Crocker mempunyai ciri-ciri alam semula jadi yang bernilai tinggi malah berupaya untuk dijadikan sebagai produk pelancongan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial