KUALA LUMPUR, 11 Jun (Bernama) -- Tune Protect Group Berhad (Tune Protect) menjalin kerjasama strategik dengan Sunway XFarms bagi melancarkan inisiatif Grow & Give untuk mempromosikan kelestarian alam sekitar dan menyumbang kepada komuniti kurang bernasib baik melalui pertanian lestari menggunakan kaedah hidroponik.
Tune Protect dalam kenyataan hari ini memaklumkan program pertanian lestari itu akan dilaksanakan dalam empat sesi iaitu pada bulan Mei, Julai, September dan November tahun ini melibatkan 240 sukarelawan daripada syarikat berkenaan.
“Setiap sesi melibatkan 60 pekerja yang menyumbang masa bagi membantu komuniti Medan Jaya di Petaling Jaya, yang menempatkan lebih 4,000 penduduk, kebanyakannya menghadapi akses terhad kepada makanan segar dan berkhasiat.
“Inisiatif ini bermula dengan latihan praktikal di Sunway XFarms apabila pekerja Tune Protect belajar pertanian bandar, menuai sayur tanpa racun dan membungkusnya untuk diedar kepada penerima tempatan. Mereka memanfaatkan pengetahuan itu dengan membangunkan ladang komuniti berkuasa solar bagi menghasilkan makanan berimpak rendah untuk manfaat jangka panjang komuniti,” menurut kenyataan itu.
Sementara itu, Ketua Pegawai Strategi dan Pengerusi Jawatankuasa Kelestarian Tune Protect Koot Chiew Ling dalam kenyataan sama berkata inisiatif itu bukan sahaja meningkatkan kesedaran tetapi juga berkongsi penyelesaian praktikal berkaitan tenaga bersih, kecekapan air, keselamatan makanan dan pengurangan sisa kepada masyarakat.
Koot berkata program itu bukan sekadar inisiatif alam sekitar atau komuniti tetapi juga mengenai usaha mewujudkan hubungan manusia yang sebenar, memenuhi keperluan asas dan memperkasakan orang ramai untuk menjaga kesejahteraan mereka.
“Senyuman di wajah penduduk, kemesraan dalam kalangan pekerja kami dan hasil yang ketara seperti sayur-sayuran segar tempatan serta persekitaran yang lebih bersih dan selamat adalah peringatan bahawa kita boleh capai sesuatu apabila kita bersatu hati dan mempunyai tujuan,” katanya.
Beliau berkata didorong oleh visi kemampanan In Tune for a Better Tomorrow, Tune Protect komited untuk membina masa depan yang lebih berdaya tahan dan mampan, menyasarkan 6,000 jam sukarelawan dari 2025 hingga 2027.
Ketua Pegawai Operasi Sunway XFarms Eleanor Choong berkata memperkasakan komuniti bandar dan menanam sendiri makanan adalah keutamaan syarikat itu.
Eleanor berkata Sunway XFarms menyediakan pelbagai kaedah pengajaran untuk mendidik pelajar daripada semua peringkat dan status sosioekonomi kerana akses kepada makanan berkhasiat sepatutnya untuk semua, bukan satu keistimewaan.
Ladang komuniti itu diunjur menghasilkan lebih 240 kilogram hasil segar setiap tahun, menyediakan penduduk dengan lebih daripada lapan jenis sayur-sayuran penting.
Ladang suria yang mampan itu juga mengurangkan kesan alam sekitar dengan ketara, mengelakkan lebih daripada 1,500 kaki persegi penebangan hutan, 3 tan pelepasan karbon, 56 tan air dan 960 keping plastik yang biasanya dikaitkan dengan penanaman sayur-sayuran konvensional.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial