EKONOMI

MYNIC sasar latih, bimbing 1,000 usahawan digital

01/12/2019 04:32 PM

MELAKA, 1 Dis -- Kira-kira 1,000 usahawan kecil dalam pelbagai industri khususnya di kawasan pinggir dan luar bandar akan dilatih dan dibimbing bagi menguasai pasaran digital dalam usaha mengembangkan pasaran perniagaan serta meningkat hasil jualan mereka menjelang tahun hadapan.

Ketua Pegawai Eksekutif MYNIC Bhd, Datuk Hasnul Fadhly Hasan berkata ia juga selaras dengan usaha kerajaan mencapai status negara maju seiring perubahan landskap perniagaan ke arah perniagaan global yang menjurus pada peralihan ekonomi digital.

Beliau berkata selain itu, usaha itu bagi memastikan usahawan B40 terus kompetitif, relevan dan dapat bersaing dalam persekitaran dunia digital dan moden.

"Usaha ini dilaksanakan di bawah Program Latihan Penguasaan Pasaran Digital di Jasin, Melaka selaras pelaksanaan projek perintis Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) di daerah itu pada April lepas.

"Setakat ini, 100 usahawan di Jasin mendapat manfaat menerusi latihan berkenaan dan ia dijangka akan diperluaskan ke seluruh negara secara berperingkat bagi membantu lebih ramai usahawan kecil menguasai ekonomi digital," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau merasmikan Majlis Penutup Program Latihan Penguasaan Pasaran Digital dan Kesedaran ANYCAST Jasin yang turut dihadiri Ketua Pegawai Operasi MYNIC, Norzaiton Senusi.

Mengulas lanjut, Hasnul Fadhly berkata pelaksanaan itu memerlukan persetujuan daripada kerajaan negeri dan setakat ini, Johor dan Selangor antara negeri akan diperluaskan program itu pada tahun hadapan.

Beliau berkata hasil pemerhatian dan pemantauan MYNIC, program itu berjaya memberi impak ketara dan pencapaian memberangsangkan dari aspek meningkatkan pendapatan serta membawa perniagaan terlibat ke satu peringkat lebih baik.

Katanya menerusi program itu, usahawan kecil yang dibimbing serta diberi latihan membangunkan laman web, pemasaran melalui media sosial dan penambahbaikan kandungan dalam pemasaran perniagaan.

Hasnul Fadhly berkata sesi pemantauan juga dijalankan bagi memantau perkembangan dan kefahaman peserta terutamanya berkaitan laman sesawang mereka, keberkesanan pemasaran digital dan pelaksanaan strategi penggunaan media sosial.

"Program ini juga mengaplikasikan teknik 'bimbingan perniagaan' supaya mereka dapat memberi maklum balas terhadap apa yang dipelajari bagi meningkatkan kemahiran dan menambah baik perniagaan mereka," katanya.

Beliau berkata menerusi program itu, laman web peserta akan dinaik taraf dengan teknologi ANYCAST bagi membantu laman web tersebut diakses dengan pantas dan meluas.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan