AM

MED kenal pasti enam syarikat utama baharu Program Pembangunan Vendor

14/11/2019 12:00 AM

KUALA LUMPUR, 13 Nov -- Kementerian Pembangunan Usahawan (MED) mengenal pasti enam lagi syarikat utama baharu di bawah Program Pembangunan Vendor (PPV), kata Menteri Pembangunan Usahawan Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof.

Menurutnya, proses pelantikan akan dimuktamadkan pada hujung tahun ini dengan sasaran 80 syarikat vendor baharu untuk dibangunkan.

Enam syarikat tersebut ialah PLUS Malaysia, Cement Industries-CIMA, UEM Sunrise, UEM Edgenta, Foresight Industries dan Tenggara Nasa.

Beliau berkata setakat ini, sebanyak 21 syarikat utama dan 1,228 syarikat vendor mengambil bahagian dalam PPV.

“MED akan menambah jumlah syarikat utama dan vendor dengan mengambil kira sektor baharu seperti aero angkasa, mobiliti udara, rel dan bioteknologi,” katanya ketika berucap pada Malam Apresiasi Program Perkongsian Inovasi Vendor di sini.

Beliau berkata antara penambahbaikan yang dilaksanakan MED adalah mengembangkan ekosistem PPV dengan melibatkan aspek pembiayaan, termasuk pembiayaan alternatif seperti pelabur budiman, pengumpulan dana awam serta penyenaraian ke Bursa Malaysia.

Pada majlis itu, 14 vendor Bumiputera dinobatkan sebagai Jaguh Nasional dan Jaguh Serantau di bawah PPV.

Syarikat vendor yang menerima pengiktirafan bagi kategori Jaguh Serantau ialah Ingress Technology Sdn Bhd, Dura-Mine Sdn Bhd dan Pro-Landscape Sdn Bhd.

Bagi kategori Jaguh Nasional pula, antara syarikat yang menerima pengiktirafan ialah Suria Component Manufacturing (M) Sdn Bhd, Automotive Industries Sdn Bhd, Autokeen Sdn Bhd dan Exact Engineering Sdn Bhd. 

Selain trofi dan sijil penghargaan yang disampaikan Mohd Redzuan, jaguh-jaguh vendor turut dianugerahkan insentif program pembangunan kapasiti berprestij dan berimpak tinggi iaitu Kaizen Japan Study Tour bernilai RM94,000 bagi setiap syarikat Jaguh Serantau dan RM54,845 bagi setiap syarikat Jaguh Nasional.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan