JOHOR BAHRU,10 Okt -- Dua lelaki warga tempatan ditahan kerana disyaki terlibat dalam kegiatan pecah rumah selain memiliki sejumlah dadah di Jalan Hulubalang 3, Taman Ungku Tun Aminah, dekat Skudai, di sini, awal pagi tadi.
Ketua Polis Johor Bahru Utara ACP Mohd Taib Ahmad berkata dua lelaki berkenaan yang berusia 36 dan 35 tahun itu sedang berjalan kaki dalam keadaan yang mencurigakan sebelum ditahan pasukan peronda di kawasan jalan berkenaan pada pukul 2 pagi.
Katanya ketika ditahan, lelaki berusia 36 tahun itu gagal mengemukakan kad pengenalan diri.
“Hasil pemeriksaan pada tubuh badan kedua-dua suspek, kita menemui satu paket kecil plastik lut sinar berisi hablur kristal, disyaki dadah jenis syabu.
Selain itu, beberapa peralatan yang dipercayai digunakan dalam kegiatan pecah rumah turut dijumpai iaitu satu unit kunci allen yang telah ditajamkan bahagian pangkal dan hujung, ‘cutter’, playar, pisau lipat dan beg pinggang berwarna merah,” katanya menerusi kenyataan, di sini, hari ini.
Mohd Taib berkata hasil ujian saringan air kencing juga mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis methamphetamine.
Menurutnya kes disiasat mengikut Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya (ADB)1952 dan Seksyen 12 (2) ADB 1952 dan Seksyen 28 (1) Undang-Undang Kesalahan Kecil.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial