EKONOMI

Maxis, Huawei meterai perjanjian sedia rangkaian 5G di Malaysia

03/10/2019 06:24 PM

PUTRAJAYA, 3 Okt -- Maxis Bhd dan Huawei Technologies Malaysia hari ini memeterai perjanjian untuk menyediakan rangkaian perkhidmatan 5G di Malaysia. 

Perjanjian itu yang dimeterai oleh Ketua Pegawai Eksekutif Maxis Gokhan Ogut dan Ketua Pegawai Eksekutif Huawei Michael Yuan, disaksikan oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di Yayasan Kepimpinan Perdana, di sini.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Eddin Syazlee Shith, Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM)  Al-Ishal Ishak, Pengerusi Maxis Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda serta Pengarah Eksekutif Huawei dan Ketua Pegawai Eksekutif Carrier BG, Ryan Ding.

Dr Mahathir, dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada majlis tersebut, berkata kerjasama antara pemain global dan vendor tempatan itu adalah penting untuk menyokong ekosistem teknologi yang sedang berkembang di Malaysia.  

"Saya gembira melihat Maxis dan Huawei mengambil kesempatan daripada persekitaran ini dan menyokong pertumbuhan ekonomi digital Malaysia,” katanya.

Perdana Menteri berkata impak daripada teknologi maju ke atas kemajuan negara tidak dapat dielakkan dan Malaysia tidak boleh ketinggalan di belakang, terutamanya dengan adanya pelaksanaan Revolusi Industri 4.0 di negara ini.

"Tidak diragui bahawa 5G akan menjadi pemacu utama menghubungkan setiap orang di Malaysia dan mentransformasikan industri-industri utama seperti pembuatan, pertanian dan penjagaan kesihatan agar Malaysia boleh kekal bersaing di peringkat global,” katanya. 

Perkongsian itu akan membolehkan syarikat telekomunikasi tersebut lebih bersedia untuk melancarkan 5G sebaik sahaja spektrum yang perlu tersedia. 

Perjanjian itu akan membolehkan Maxis mempunyai akses kepada pandangan, standard, produk dan penyelesaian yang akan menjadikan 5G mudah diguna pakai, dikendalikan dan memperkenalkan kes penggunaan baharu di Malaysia.

Sementara itu, Raja Arshad berkata sebagai sebahagian daripada perjanjian tersebut, Huawei akan membekalkan peralatan radio dan perkhidmatan 4G/LTE dan 5G.

Selain memiliki akses kepada teknologi 5G, beliau berkata, Maxis akan dapat memodenkan rangkaian LTE sedia adanya sebagai persediaan melaksanakan 5G.

"Dengan memanfaatkan pelaburan dan kedudukan kukuh sedia ada, Maxis akan dapat mempercepat pelancaran perkhidmatan 5G apabila spektrum tersedia,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan