Khamis, 09 Julai 2020
AM
17/09/2019 12:07 PM

KUALA LUMPUR, 13 Sept -- Etlingera Sdn Bhd, anak syarikat di bawah Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC) menandatangani perjanjian kerjasama dengan Permint Plywood Sdn Bhd (PPSB) untuk melonjakkan industri produk gaharu bernilai RM8 bilion setahun.

Ketua Eksekutif MTDC Datuk Norhalim Yunus berkata kerjasama itu akan membuka peluang kepada penanam gaharu secara kecil-kecilan agar berpotensi mengeksport produk mereka ke peringkat antarabangsa.

“Malaysia kini mempunyai kira-kira tiga juta pokok gaharu. Dengan menggunakan teknologi yang dihasilkan Etlingera, ia dapat menghasilkan gaharu bermutu,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

PPSB ialah anak syarikat Golden Pharos Bhd (GPB) yang dimiliki kerajaan negeri Terengganu.  

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif GPB Datuk Nadzarudin Abdul Razak berkata di bawah perjanjian itu, PPSB akan membekalkan 480 pokok karas matang, manakala Etlingera akan terlibat dalam aktiviti seperti inokulasi, penuaian, pengangkutan dan pemprosesan minyak pati gaharu.

“Berdasarkan perjanjian yang ditandatangani, pembahagian keuntungan dimuktamadkan adalah 50-50 peratus diantara Etlingera dan PPSB,” katanya.

 PPSB kini memiliki kira-kira 100,000 pokok karas yang ditanam di atas tanah seluas 40.4 hektar di Ladang karas Merchang di Marang, Terengganu.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Etlingera, Suhaimi Samsudin, inokulum yang dihasilkan daripada penyelidikan Universiti Putra Malaysia telah diuji dan terbukti menghasilkan minyak gaharu bermutu tinggi dan telah digunakan untuk pasaran eksport.

Katanya, teknologi itu juga telah digunakan di beberapa negara seperti Indonesia, Thailand, Kemboja dan Laos manakala hasil minyak dan teras gaharu telah berada di pasaran Oman, Qatar, Emeriyah Arab Bersatu (UAE), Kuwait, China, Bahrain dan Perancis.  

“Nilai pasaran bagi satu liter pati minyak karas ialah RM80,000. Projek dengan PPSB dijangka memberi pulangan sebanyak RM1.6 juta dalam jangka masa 18 bulan,” katanya.

-- BERNAMA

 

TENTANG KAMI

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia
Wisma BERNAMA
No.28 Jalan BERNAMA
Off Jalan Tun Razak
50400 Kuala Lumpur
Malaysia

Tel : +603-2693 9933 (Talian Am)
Email : helpdesk@bernama.com

Kategori

Am
Ekonomi
Sukan
Politik
Dunia
Rencana
Tinta Minda
Infografik
Video
Images
Siaran Media Eksklusif

Hak Cipta

Penafian
Dasar Privasi
Dasar Keselamatan