JOHOR BAHRU, 11 Sept -- Keputusan doping lima atlet angkat berat kebangsaan yang dilakukan secara mengejut oleh Agensi Anti-Doping Malaysia (ADAMAS) pada Julai lepas, didapati negatif.
Mengesahkan perkara itu, Presiden Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) Datuk Ayub Rahmat berkata lima atlet angkat berat yang menjalani ujian yang dijalankan 31 Julai itu ialah atlet senior Muhammad Azroy Hazal Wafie Izhar Ahmad, Muhammad Aznil Bidin, Muhammad Erry Hidayat, Mohd Yusoff Nandong dan Nur Atikah Mahamad Sobri.
Katanya, pelbagai prosedur tambahan melibatkan ujian semula dan kenal pasti bahan telah dijalankan sepanjang sampel dihantar ke makmal antarabangsa di Qatar.
“Setelah menunggu selama enam minggu, pada hari ini, PABM menerima keputusan yang menggembirakan.
Jelas menunjukkan bahawa segala seminar, bengkel dan sesi penerangan yang dijalankan secara berterusan oleh PABM, Majlis Sukan Negara (MSN), Majlis Sukan Negeri, ADAMAS serta persatuan negeri membuahkan hasil,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Ayub berkata berita baik itu juga merupakan satu petanda positif menjelang Sukan Malaysia (Sukma) di Johor tahun depan.
“Saya berharap agar sesi penerangan dapat dilakukan secara berterusan agar atlet sukan angkat berat ini benar-benar faham serta tidak melibatkan diri dalam pengambilan barangan larangan ini,” katanya.
Dalam masa yang sama, Ayub berkata pihaknya masih menunggu keputusan majlis tertinggi Sukma mengenai keputusan menyenaraikan semula sukan angkat berat yang sebelum ini berstatus 'KIV’ (simpan dalam perhatian) di temasya sukan itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial