EKONOMI

PELABURAN DALAM SEKTOR PEMBUATAN PULAU PINANG NAIK TUJUH KALI GANDA

12/06/2019 05:48 PM

GEORGE TOWN, 12 Jun (Bernama) -- Pulau Pinang telah meluluskan pelaburan yang bernilai RM8.8 bilion dalam sektor pembuatan pada suku pertama tahun 2019, naik 763 peratus daripada RM1.02 bilion pada tempoh yang sama tahun lepas.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow memberitahu, walaupun pertikaian perdagangan dan teknologi antara Amerika Syarikat (AS) dan China sedang meningkat sehingga mewujudkan ketidakpastian terhadap perdagangan global serta prospek ekonomi, Pulau Pinang terus kekal sebagai destinasi pelaburan yang digemari. 

“Menurut Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), dari Januari hingga Mac tahun ini, Pulau Pinang berjaya menarik 41 projek bernilai RM8.85 bilion, mewakili 35 peratus jumlah keseluruhan pelaburan-pelaburan yang diluluskan di Malaysia dalam sektor pembuatan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Pelaburan dalam sektor pembuatan yang diluluskan dalam suku pertama 2019 sudah mengatasi angka keseluruhan tahun 2018 iaitu sebanyak RM5.8 bilion, kejayaan ini akan mewujudkan lebih kurang 10,073 peluang pekerjaan di pulau berkenaan.

Daripada jumlah pelaburan yang diluluskan dalam suku di bawah kajian, pelaburan langsung asing menyumbang sebanyak RM8.47 bilion manakala selebihnya adalah pelaburan domestik.

“Gabungan rantaian bekalan yang kukuh, bakat manusia, infrastruktur yang mantap dan perkhidmatan sokongan daripada kerajaan negeri kepada pelabur telah menjadikan Pulau Pinang destinasi pilihan bagi pelaburan,” katanya. 

Bagaimanapun, Chow, yang juga merupakan Pengerusi Majlis Penasihat Pelaburan Strategik Pulau Pinang berkata walaupun negeri itu menjadi destinasi pelaburan pilihan jangka sederhana hingga panjang, beliau agak optimis tentang prospek ekonomi terdekat berikutan perang perdagangan sekarang ini.

Katanya, walaupun terdapat gencatan dalam perang perdagangan semasa suku pertama tetapi keadaan semakin bertambah tenat.

“Presiden Donald Trump telah mengugut untuk mengenakan satu lagi tarif sebanyak US$300 bilion ke atas eksport China ke AS, dan pertemuan di antara Trump dengan pemimpin China, Xi Jinping dalam bulan ini adalah sangat penting,” katanya.

Beliau juga mengingatkan bahawa prestasi pelaburan yang cemerlang dalam sektor pembuatan pada suku pertama, mungkin tidak berulang pada suku kedua dan ketiga, bagaimanapun, unjuran pelaburan di Pulau Pinang akan berada di landasan yang betul dalam jangkamasa sederhana ke panjang. 

“Melalui InvestPenang, kerajaan Pulau Pinang akan terus memberi tumpuan bagi membawa masuk pelaburan berkualiti tinggi yang akan mewujudkan pekerjaan berkualiti  dan sesuai dengan profil industri di negeri ini,” katanya.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan