KUALA LUMPUR, 29 Ogos (Bernama) -- Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) menggalakkan para pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) mendapatkan maklumat lengkap berkenaan perakuan akreditasi MQA sesuatu program pengajian yang ditawarkan institusi pengajian tinggi (IPT) sebelum membuat keputusan memilih.
MQA dalam kenyataannya hari ini berkata ia penting kerana program pengajian yang diperakukan agensi itu memiliki kelebihan tersendiri seperti peluang penajaan dari badan-badan penaja, peluang melanjutkan pengajian ke IPT terkemuka dengan pindahan kredit dan pertimbangan untuk berkhidmat di sektor awam.
“Malahan majikan di sektor swasta turut menekankan kepada program pengajian yang diberi perakuan akreditasi MQA dalam pengambilan calon pekerja mereka,” katanya.
Bagi memudahkan pelajar membuat pemilihan, agensi itu berkata ia telah membangunkan Daftar Kelayakan Malaysia atau MQR, iaitu daftar yang menyenaraikan semua program pengajian yang telah mendapat akreditasi MQA.
Selain penting sebagai rujukan bagi program pengajian dan kelayakan yang telah diakredit, ia akan menjadi rujukan bagi pemindahan kredit antara program pengajian dan kelayakan, kerana pemindahan kredit hanya boleh berlaku di antara program yang telah diakreditasi.
MQA turut menyarankan para pelajar merancang lebih awal dalam menentukan hala tuju pendidikan dan kerjaya masing-masing iaitu seawal tingkatan empat atau tingkatan lima.
Perancangan awal termasuk mengunjungi karnival pendidikan anjuran IPT untuk mengetahui lebih lanjut mengenai institusi dan program yang ditawarkan, serta meneliti kos yang terpaksa ditanggung untuk melanjutkan pengajian.
“Ibu bapa dan pelajar mesti pandai menilai dan membezakan kos yang perlu ditanggung dengan mengambil kira institusi yang menawarkan program disamping mengambil peluang terhadap institusi yang menawarkan biasiswa dan diskaun bagi kos pengajian.
"Perlu juga berhati-hati terhadap iklan atau promosi dengan meneliti program yang ditawarkan, sama ada disahkan dengan akreditasi atau tidak. Untuk program profesional pula, ia perlu mendapat pengesahan status," katanya.
Sementara itu, ia berkata setiap institusi yang menawarkan program baru yang telah diluluskan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (Sektor Pendidikan Tinggi) akan diberikan akreditasi sementara oleh MQA untuk tempoh tertentu.
Akreditasi penuh akan diberi apabila pelajat kohort pertama berada di tahun akhir program tersebut dan memenuhi kriteria yang ditetapkan.
Peranan utama MQA selaku badan tunggal yang menyelia dan menyelaras jaminan kualiti dan akreditasi pendidikan tinggi negara adalah untuk melaksanakan Kerangka Kelayakan Malaysia (MQF) sebagai rujukan kriteria dan standard kelayakan kebangsaan.
"Bagi memenuhi matlamat menjadi sebuah autoriti global dalam jaminan kualiti pengajian tinggi, MQA bersedia menerokai sempadan baharu dalam jaminan kualiti yang mencapai standard antarabangsa," kata MQA.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial