EKONOMI

PKS buka potensi baharu menerusi e-dagang dan teknologi baharu

21/05/2018 03:51 PM
Oleh S. Joan Santani




KUALA LUMPUR, 21 Mei (Bernama) -- E-dagang telah menjadi satu istilah yang sering disebut-sebut sejak kemunculan internet. Dengan 77 peratus penduduk Malaysia mempunyai akses kepada internet sejak 2016, pasaran maya menawarkan potensi yang ketara kepada syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk mengembangkan dan meningkatkan perniagaan mereka.


Kelebihan ini telah dimanfaatkan oleh beberapa usahawan PKS yang gigih untuk membuat lonjakan dalam membangunkan dan melancarkan produk mereka menerusi bantuan yang disediakan oleh agensi kerajaan seperti SME Corporation Malaysia (SME Corp. Malaysia), dengan gabungan penyelesaian ICT.


Mengambil kesempatan daripada kecenderungan wanita kepada fesyen dan keselesaan, Mestrae Sdn Bhd telah mereka tumit kasut yang boleh ditukar ganti dan meraih jualan bernilai RM33,000 setelah prototaip produk mereka siap.


Kasut bertumit tinggi ini, yang boleh diubah menjadi kasut bertapak leper dalam pelbagai bentuk dan warna, disasarkan kepada wanita bekerja di kawasan bandar.


"Saya sendiri merasa amat sakit ketika memakai kasut bertumit tinggi. Keinginan untuk mencari penyelesaian merupakan pencetus sehingga terciptanya produk ini," kata Pengarah Eksekutif Mestrae, Christine Pamela Chandrakasan.


Sejak memasuki pasaran pada November 2016, Christine berkata capaian pelanggannya telah berkembang dari Malaysia ke Singapura, Filipina dan Thailand di Asia Tenggara; malah hingga ke Australia, United Kingdom, Amerika Syarikat, dan juga Switzerland.


Mestrae mampu mengakses pelanggan yang ramai, melangkaui sempadan geografi, terutamanya menerusi laman sesawang dan mempromosikan produk mereka di laman rangkaian sosial seperti Facebook dan Instagram.


"Usaha awal kami adalah untuk mewujudkan laman sesawang e-dagang dan menjalankan promosi dalam talian memandangkan bajet pemasaran yang terhad. Kami berasa terkejut apabila ia menjadi tular dan jualan kian meningkat menerusi laman sesawang," ujar Christine lagi.


Dengan latar belakang dalam bidang kejuruteraan, beliau berkata SME Corp Malaysia telah banyak membantu dari segi pembiayaan, latihan kemahiran keusahawanan dan peluang dalam rangkaian perdagangan untuk mengembangkan perniagaan.


Mestrae kini dapat memenuhi permintaan yang tinggi dari pasaran Eropah dan Amerika Syarikat. Mestrae bekerjasama dengan Shopee, iaitu platform membeli-belah dalam talian, dan tidak lama lagi akan bekerjasama dengan Amazon untuk mengembangkan pilihan mereka dalam e-dagang.


Bagi Lim Chee Hwa, Pengarah Urusan One Team Networks Sdn Bhd, geran daripada Kerajaan membantu membangunkan ideanya dan menjadi sistem perintis untuk menghapuskan nyamuk.


Produk Lim dikenali sebagai ‘AedesTech Mosquito Home System’ (A-MHS), yang menggunakan “Teknologi Mengumpan & Bunuh” untuk menghapuskan nyamuk di segenap peringkat pembentukan, daripada telur, larva, kepompong hingga dewasa.


Produk ini telah dipamerkan di beberapa siri jelajah dan misi perdagangan di dalam dan luar negeri, memandangkan Lim merupakan penerima Geran Pembangunan Pasaran dari Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).


"Inilah bagaimana kami dapat memperkenalkan A-MHS ke pasaran dunia. Kami juga telah mencapai detik penting pada 2015, apabila kami menerima geran 'Concept to Commercialisation Gap Fund' daripada PlaTCOM Ventures Sdn Bhd," kata Lim.


PlaTCOM Ventures, anak syarikat milik penuh Agensi Inovasi Malaysia (AIM), merupakan platform pengkomersialan teknologi negara yang ditubuhkan dengan kerjasama SME Corp Malaysia di bawah salah satu daripada enam Program Berimpak Tinggi (HIP) dalam Pelan Induk PKS (2012-2020).


Lim berkata ideanya dapat direalisasikan hasil usaha gigih bakat tempatan dalam bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D) di universiti tempatan.


Lim kini bekerjasama dengan pakar-pakar di Institut Penyelidikan Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Strathclyde, Glasgow, untuk menjalankan R&D dalam pelbagai bidang seperti entomologi, kimia, pemodelan matematik dan juga internet of things (IoT) untuk aplikasi mudah alih.


Satu lagi penjana perubahan tempatan adalah motor Eclimo, yang merupakan perintis skuter elektrik pertama negara, yang dikomersialkan pada 2013.


Pengarah Eclimo, Liew Chung Peng berkata pelanggan terawal syarikat ini termasuk rantaian makanan segera, Kentucky Fried Chicken (KFC), yang membeli skuter Eclimo untuk menjalankan perkhidmatan penghantarannya, sebagai langkah ke arah penggunaan teknologi hijau.


"Eclimo membawa maksud Eco (Eko), Lifestyle (Kehidupan) dan Mobility (Pergerakan). Kami mengasaskan syarikat ini berdasarkan kecintaan kami terhadap alam sekitar dan juga kerana kami menyaksikan trend dunia yang menunjukkan lebih ramai pemimpin yang berusaha ke arah penyelesaian hijau dalam penggubalan dasar mereka," kata Liew.


Meskipun infrastruktur pengecasan kenderaan elektrik masih dalam peringkat awal di rantau ASEAN, Eclimo yakin bahawa terdapat potensi yang amat besar untuk pasaran skuter elektrik. Beliau menganggarkan menjelang 2025, kenderaan elektrik akan menguasai 10 peratus daripada 11 juta kenderaan baru yang didaftarkan setiap tahun di rantau ini.

Kini, Eclimo telah mengatasi satu kelemahan lama dalam industri kenderaan elektrik (EV), dengan kejayaannya memasarkan produk tanpa menunggu perbelanjaan besar Kerajaan dalam menyediakan infrastruktur pengecasan elektrik.


"Tidak seperti kenderaan empat roda, skuter kami boleh dicaskan dengan mudah melalui outlet kuasa.


"Inilah bagaimana kami dapat membawa produk kami ke pasaran, meskipun infrastruktur pengecasan elektrik sedia ada di negara ini adalah terhad," kata beliau.


Perniagaan Eclimo dapat dilancarkan berikutan pengiktirafan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), yang memberi mereka geran R&D, bersama-sama dengan status perintis untuk produk mereka yang inovatif.


"Kami juga memperoleh geran pengkomersialan dari Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dengan bantuan daripada Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC)," kata Liew.


Insentif di bawah ini termasuk pengecualian cukai yang akan memberi manfaat kepada pengguna untuk memiliki EV buatan tempatan pada harga yang lebih rendah berbanding dengan yang diimport.


Liew bagaimanapun berkata, skuter Eclimo belum lagi ditawarkan pada harga yang berdaya saing memandangkan ia masih belum mencapai permintaan yang mencukupi untuk mengatasi kos pengeluaran.


Syarikat ini berharap dapat menarik lebih banyak agensi Kerajaan, terutamanya pasukan polis dan agensi penguatkuasaan lain, supaya mempertimbangkan untuk melabur dalam pembelian skuter elektrik Eclimo.


"Kami telah menjual unit Eclimo kepada beberapa majlis bandar raya, termasuk Pulau Pinang, Petaling Jaya dan Melaka. Kami percaya terdapat peluang bagi kami untuk menguasai pasaran di rantau Asia Tenggara sebaik sahaja kami mencapai lebih kemajuan dalam pasaran domestik," katanya.


Bagi memastikan daya maju, Eclimo juga meneroka Internet of Things (IoT) untuk memasukkan ciri pengawasan jarak jauh pada skuter elektrik mereka.


"Penyelenggaraan kenderaan elektrik berbeza daripada automotif semasa yang berasaskan bahan api.


"Daripada memisahkan bahagian peralatan untuk penggantian secara berkala, kita boleh mengukur prestasi kenderaan elektrik menerusi pelbagai parameter seperti voltan.


"Memasang ciri IoT untuk membantu dalam pengawasan jarak jauh dapat membantu kami mengatasi kos penyediaan juruteknik dan perjalanan. Dengan cara ini, kami boleh mengenal pasti isu dan memberikan penyelesaian kepada pelanggan kami tanpa mengira lokasi mereka," kata Liew.


Kisah kejayaan sebegini merupakan sebahagian daripada inisiatif Kerajaan yang lebih luas bagi mewujudkan sistem sokongan untuk PKS, yang membolehkan pertumbuhan pengubah permainan, yang sesuai untuk bersaing di arena antarabangsa.


Sewaktu Sidang Kemuncak ASEAN di Manila pada November 2017, Perdana Menteri mencadangkan penubuhan Kumpulan III Wawasan Asia Timur bagi memantau kesan revolusi ke atas ekonomi negara tersebut dan menggariskan langkah-langkah untuk menangani keadaan ini.


Di Malaysia, Kerajaan juga terus menyokong dan menggalakkan penerapan awal Industri 4.0 dan automasi dalam perniagaan.


Pelbagai insentif cukai telah diberikan, termasuk pelanjutan tempoh 200 peratus Elaun Modal Dipercepatkan (ACA) dan Elaun Peralatan Automasi (AEA), yang sebelum ini diperkenalkan bagi menggalakkan automasi dalam industri pembuatan.


Amarjeet Singh, Rakan Kongsi dan Pakar Cukai Malaysia, Ernst & Young Tax Consultants Sdn Bhd, berkata Malaysia mempunyai sektor pembuatan yang stabil dan matang dengan infrastruktur dan sumber yang berkualiti, serta dasar yang baik untuk membantu mendorong negara ke era baru Industri 4.0.


Menurut beliau, jika negara ini berjaya beralih ke Industri 4.0, ia perlu mempertimbangkan langkah-langkah untuk membantu dan menggalakkan lagi perbelanjaan R&D, serta meningkatkan keupayaan tenaga kerja untuk membuat inovasi dan mengaplikasikan pengetahuan dan teknologi terkini.


-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan