Oleh Siti Radziah Hamzah
KUALA LUMPUR, 3 Mac (Bernama) -- Petroliam Nasional Bhd (Petronas) memantau dengan teliti perkembangan di beberapa kawasan di Timur Tengah dan kekal komited untuk memastikan keselamatan dan kebajikan pekerja dan keluarga serta kontraktor yang menyokong operasinya di seluruh rantau itu.
Syarikat minyak nasional itu memaklumkan sedang bekerjasama secara aktif dengan Kementerian Luar, Kedutaan Malaysia, kedutaan lain, pihak berkuasa tempatan serta agensi berkaitan untuk menilai situasi yang sedang berlaku dan mengambil langkah berjaga-jaga yang sewajarnya.
"Setakat ini, tiada laporan mengenai sebarang ancaman langsung kepada kakitangan atau aset Petronas, dan operasi diteruskan seperti biasa," katanya dalam maklum balas melalui emel kepada Bernama.
Petronas telah memperluas operasinya dengan ketara di Timur Tengah sejak beberapa tahun lepas sebagai operator utama di Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Oman selain mengekalkan pengeluaran di Iraq.
Di Oman, anak syarikat milik penuh Petronas, PC Oman Ventures Ltd telah memeterai perjanjian konsesi dengan Kerajaan Kesultanan Oman serta OQ Exploration and Production Batinah Offshore LLC sebagai rakan kongsi bagi cari gali minyak dan gas di Blok 18.
Meliputi kawasan lebih 21,000 kilometer persegi, Blok 18 adalah kawasan cari gali luar pesisir yang besar di Timur Laut Oman, menawarkan potensi cari gali baharu yang signifikan, melibatkan pelbagai keadaan geologi, daripada perairan cetek sehingga perairan sangat dalam.
Selain itu, pada 2024, Petronas memenangi konsesi cari gali minyak dan gas bagi Blok Daratan 2 yang terletak di wilayah Al Dhafra, Abu Dhabi.
Setakat ini, harga minyak mentah Brent melonjak 4.35 peratus kepada US$81.12 setong.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial