KUALA LUMPUR, 10 Sept (Bernama) -- Oceancash Pacific Bhd (OPB) memeterai perjanjian langganan saham bersyarat (SSA) dengan Paragon Union Bhd untuk mengambil alih Paragon Car Carpets & Components Sdn Bhd (PCCCSB) dengan nilai RM13.42 juta.
OPB dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata pengambilalihan yang dicadangkan melibatkan pembelian sebanyak 22.75 juta saham biasa bersamaan dengan 100 peratus kepentingan dalam PCCCSB yang akan diselesaikan sepenuhnya melalui pertimbangan tunai.
“Setelah selesai, PCCCSB akan menjadi anak syarikat milik penuh OPB,” katanya.
OPB berkata pengambilalihan yang dicadangkan akan membolehkan kumpulan itu mengembangkan asas pelanggannya selain memperoleh akses langsung kepada beberapa pelanggan akhir dalam industri automotif seperti pengeluar kenderaan automotif yang kini diberi khidmat oleh PCCCSB.
“Ia juga dijangka membolehkan kumpulan ini berkembang ke dalam aktiviti hiliran dalam rantaian bekalan karpet kereta serta meluaskan lagi asas pelanggan kumpulan dalam industri automotif.
“Kami memanfaatkan hubungan perniagaan PCCCSB dengan pelanggan sedia ada selain peluang untuk jualan silang produk di bawah kumpulan yang diperbesarkan sekali gus meningkatkan daya saing serta kedudukan dalam pasaran alat ganti dan komponen automotif,” katanya.
Kumpulan itu berkata pengambilalihan yang dicadangkan tidak akan memberi kesan kepada modal saham yang diterbitkan serta pegangan saham daripada pemegang saham utama.
“Pengambilalihan yang dicadangkan tidak melibatkan terbitan saham biasa baharu dalam OPB atau menyebabkan sebarang perubahan kepada jumlah saham yang diterbitkan,” tambahnya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial