ALOR SETAR, 10 Sept (Bernama) -- Polis sedang mengenal pasti identiti seorang lelaki yang maut dipercayai akibat dilanggar sebuah kereta, ketika sedang melintas jalan di Kilometer (KM) 46 Lebuhraya Utara Selatan arah Selatan, semalam.
Ketua Polis Daerah Kota Setar ACP Siti Nor Salawati Saad berkata Pejabat Pertanyaan Balai Polis Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar, telah menerima laporan berhubung kemalangan itu kira-kira 7.30 pagi, semalam.
“Siasatan awal mendapati, kemalangan berlaku apabila sebuah kereta jenis Hyundai yang dipandu seorang lelaki berusia 61 tahun, sedang bergerak lurus di lorong kiri dari arah utara menghala ke selatan, telah melanggar seorang pejalan kaki yang dipercayai sedang melintas jalan dari sebelah kiri ke kanan.
“Akibat pelanggaran itu, mangsa tercampak di lorong kecemasan dan pihak perubatan yang tiba di lokasi mengesahkan mangsa telah meninggal dunia. Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Beliau berkata lagi pemandu kereta berkenaan telah membuat laporan polis hari ini dan pihaknya sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian itu.
“Polis meminta orang ramai terutamanya saksi kejadian untuk tampil memberi keterangan dan sesiapa yang ada kehilangan ahli keluarga, boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Inspektor Mohd Lukmanul Hakim Mohd Fauzi melalui talian 04-7321222 atau 013-9964614 bagi membantu siasatan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial