KUALA LUMPUR, 10 Sept (Bernama) -- Penyedia khidmat penyewaan penjana, Express Powerr Solutions (M) Bhd (Express Powerr), mencatatkan lebihan langganan sebanyak 13.55 kali untuk tawaran awam permulaan (IPO) syarikat itu menjelang penyenaraiannya di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 24 September, 2025.
IPO Express Powerr merangkumi terbitan awam sebanyak 180 juta saham biasa baharu pada harga terbitan RM0.20 sesaham. Ini mewakili 19.26 peratus daripada jumlah saham terbitan yang diperbesarkan dengan hasil IPO dijangka meraih RM36 juta.
Syarikat itu berkata ia menerima sejumlah 8,338 permohonan bagi 679.95 juta saham baharu bernilai kira-kira RM135.99 juta, mewakili kadar lebihan langganan keseluruhan sebanyak 13.55 kali.
“Bagi bahagian Bumiputera, sebanyak 4,097 permohonan untuk 255.13 juta saham terbitan telah diterima, mewakili kadar lebihan langganan sebanyak 9.92 kali.
“Bagi bahagian awam, sebanyak 4,241 permohonan telah diterima untuk 424.82 juta saham terbitan, menghasilkan kadar lebihan langganan sebanyak 17.18 kali,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Express Powerr berkata 18.69 juta saham terbitan yang diperuntukkan untuk dimohon oleh pengarah, pekerja dan individu yang telah menyumbang kepada kejayaan kumpulan telah dilanggan sepenuhnya.
Sementara itu, penempatan persendirian untuk 63.19 juta saham terbitan bagi pelabur-pelabur terpilih turut dilanggan sepenuhnya.
Selain itu, 51.39 juta saham terbitan dan 65.41 juta saham tawaran kepada pelabur Bumiputera yang diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) juga telah dilanggan sepenuhnya selepas pelaksanaan pelarasan semula dan pengagihan semula yang berkaitan.
Pengarah Urusan Lim Cheng Ten berkata sambutan menggalakkan terhadap IPO syarikat itu menunjukkan pelabur mengiktiraf kepentingan peranan syarikat dalam memastikan industri dan komuniti terus mendapat bekalan kuasa tanpa gangguan.
“Hasil yang diperoleh daripada IPO akan membolehkan kami memperkukuh barisan armada dan menambah baik operasi kami, sekali gus memberi kami kapasiti dan fleksibiliti yang lebih besar untuk berkhidmat kepada lebih ramai pelanggan.
“Dengan penambahbaikan ini, kami berada pada kedudukan yang lebih baik untuk merebut peluang di masa hadapan, menyokong infrastruktur kritikal dan mewujudkan nilai jangka panjang untuk para pemegang saham dan pelanggan kami,” katanya.
Selepas penyenaraian, Express Powerr akan mempunyai permodalan pasaran sebanyak RM186.89 juta berdasarkan harga terbitan 20 sen sesaham dan jumlah modal saham yang diperbesarkan sebanyak 934.45 juta saham.
Mercury Securities ialah penasihat utama, penaja, penaja jamin tunggal dan ejen penempatan tunggal untuk IPO itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial