SEGAMAT, 27 Ogos (Bernama) -- Gempa bumi lemah yang berulang di daerah ini hari ini mencetuskan kebimbangan penduduk sekali gus menggesa kerajaan memperkenalkan mekanisme pemantauan dan sistem amaran awal lebih berkesan bagi menghadapi sebarang kemungkinan gegaran pada masa depan.
Pekerja swasta, Mohd Fadhil Shukor, 45, yang menetap di Buloh Kasap berkata kejadian gempa itu membuatkan dia kini dilanda rasa takut kemungkinan berlaku lagi gegaran dan berharap sistem amaran dapat dipertingkatkan.
“Boleh dikatakan ini pertama kali gempa bumi berulang di Segamat. Sebelum ini kalau ada gegaran ia sekali sahaja dan mungkin kita anggap ia terpencil tetapi kali ini rasa takut itu nyata, takut kejadian lebih besar berlaku,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Sementara itu, B. Suresh, 37, yang tinggal di sekitar Bandar Segamat Baru berharap kerajaan memperkenalkan mekanisme pemantauan dan penilaian struktur geologi yang lebih efisien susulan kejadian tersebut.
“Perlu ada usaha bersepadu menilai kesan gegaran terhadap struktur geografi negara. Di Kuala Lumpur sendiri kita sudah melihat kejadian sinkhole, maka langkah ini tidak boleh dipandang ringan kerana ia melibatkan keselamatan orang ramai,” katanya.
Izzat Shakirin Mohamad Amir, 29, pula berharap kerajaan mampu memperkenalkan sistem amaran bencana yang diaplikasikan oleh negara luar seperti amaran siren dan pengumuman awam dalam usaha memastikan rakyat cakna dengan perkembangan semasa.
“Langkah ini saya rasa amat penting kerana demografi penduduk di Segamat juga terdiri daripada golongan warga emas yang kurang mahir dengan aplikasi moden, adakalanya mereka terlepas pengumuman penting.
“Mak dan ayah saya tinggal di Segamat dan saya akan hubungi mereka untuk maklumkan mengenai kejadian gempa ini kerana saya tahu mereka tidak mahir menggunakan media sosial,” katanya.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) hari ini mengesahkan gempa bumi lemah berukuran 3.2 magnitud berlaku di Segamat pada 8.59 pagi, dengan gegaran dilapor dirasai di beberapa kawasan di Johor dan selatan Pahang.
Pada 24 Ogos lepas, MetMalaysia mengesahkan dua kejadian gempa bumi lemah masing-masing berukuran magnitud 4.1 di Segamat pada 6.13 pagi dan 2.8 di Yong Peng, 28 kilometer barat laut Kluang pada 9 pagi.
Pada Isnin lepas, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Datuk Mohd Jafni Md Shukor dilaporkan berkata elemen pengesanan bencana termasuk gempa bumi akan menjadi sebahagian daripada petunjuk pembangunan Bandar Pintar Johor pada masa hadapan.
Beliau berkata sistem amaran awal bencana melalui telefon pintar sedang dipertimbangkan untuk dimasukkan dalam pelan bandar pintar itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial