AM

Segamat Alami Gempa Susulan Pagi Ini - KP MetMalaysia

27/08/2025 01:54 PM

JOHOR BAHRU, 27 Ogos (Bernama) -- Gempa bumi lemah bermagnitud 3.2 yang berlaku di Segamat pagi tadi dikenal pasti sebagai susulan kepada kejadian gempa 4.8 magnitud pada 24 Ogos lalu, menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).

Ketua Pengarah MetMalaysia Dr Mohd Hisham Mohd Anip berkata gempa pada 8.59 pagi itu berpusat pada kedalaman 10 kilometer di koordinat 2.33 darjah Utara dan 102.79 darjah Timur, iaitu kira-kira 18 kilometer selatan Segamat.

“Analisis mendapati kejadian ini berlaku di Zon Sesar Mersing dan merupakan gempa susulan daripada insiden pada 24 Ogos lalu. Gegaran turut dirasai di beberapa kawasan sekitar Johor dan selatan Pahang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata walaupun ia adalah gempa susulan, orang ramai tidak perlu risau kerana magnitudnya lemah dan tidak membawa ancaman serius kepada keselamatan awam.

MetMalaysia akan terus memantau keadaan ini dan mengeluarkan makluman dari semasa ke semasa, selain menasihatkan orang ramai supaya mendapatkan maklumat sahih melalui laman web rasmi, aplikasi mudah alih myCuaca, media sosial rasmi jabatan atau talian hotline 1300-22-1638.

Setakat ini, tiada laporan mengenai kemalangan jiwa atau kerosakan harta benda diterima.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan