SUKAN

Pearly-Thinaah Mudah Lepasi Cabaran Pusingan Kedua Di Paris

28/08/2025 12:07 AM

KUALA LUMPUR, 27 Ogos (Bernama) -- Beregu wanita utama negara, Pearly Tan-M. Thinaah tidak berdepan masalah untuk menempah tempat ke pusingan ketiga Kejohanan Badminton Dunia 2025 selepas mudah melepasi halangan gandingan Hong Kong di Paris, Perancis, malam ini.

Pada aksi pusingan kedua di Adidas Arena, pasangan nombor dua dunia itu hanya memerlukan 37 minit untuk menoktahkan kemenangan ke atas Lui Lok Lok-Tsang Hiu Yan 21-17, 21-14.

Menanti Pearly-Thinaah di pusingan seterusnya ialah antara pasangan tuan rumah Tea Margueritte-Flavie Vallet dan gandingan Lanny Tria Mayasari-Siti Fadia Silva Ramadhanti dari Indonesia.

Pada masa sama, beregu lelaki negara Wan Arif Wan Junaidi-Yap Roy King mudah mengetepikan wakil Thailand, Kittinupong Kedren-Dechapol Puavaranukroh 21-13, 21-17 untuk mara ke pusingan ketiga.

Wan Arif-Roy King akan membuat perhitungan menentang antara rakan senegara yang juga bekas juara dunia Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan beregu Scotland, Christopher Grimley-Matthew Grimley.

Turut mara ialah beregu campuran Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin selepas mengatasi Malik Bourakkadi-Leona Michalski dari Jerman 21-10, 18-21, 21-12 dan Goh Soon Huat-Lai Shevon Jemie yang menundukkan Pakkapon Teeraratsakul-Phataimas Muenwong dari Thailand 21-19, 21-15.

Bagaimanapun, Pang Ron-Su Yin dan Soon Huat-Lai Shevon akan bertemu sesama mereka di pusingan ketiga.

Dalam pada itu, wakil negara yang terkandas ialah perseorangan lelaki, Leong Jun Hao yang tewas kepada pemain Jepun Kenta Nishimoto, 21-17, 13-21, 23-25; beregu wanita Go Pei Kee-Teoh Mei Xing yang tumpas di tangan wakil Bulgaria, Gabriela Stoeva-Stefani Stoeva, 11-21, 9-21; dan perseorangan wanita, K. Letshanaa, selepas tewas di tangan Pusarla V. Sindhu dari India 19-21, 15-21.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan