KUALA LUMPUR, 2 Ogos (Bernama) -- Kerajaan memperuntukkan RM100,000 bagi setiap kampung di bawah Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) untuk melaksanakan projek pembangunan yang ditentukan sendiri oleh penduduk setempat.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pendekatan memberikan kebebasan kepada penduduk kampung menentukan sendiri projek pilihan mereka itu selaras dengan aspirasi Kerajaan MADANI yang menekankan prinsip musyawarah dan pemerkasaan rakyat.
“Saya sudah sediakan peruntukan, setiap kampung Felda diberikan RM100,000 untuk mereka tentukan projek apa yang mereka nak lakukan.
“Ini bukan pengurusan (Felda) yang tentukan projek apa nak buat. Nak beli apa, traktor? Nak buat kolam ikan? Nak beli dron? Saudara sendiri putuskan apa yang nak beli, saya sediakan RM100,000 bagi setiap kampung,” katanya pada majlis perasmian Karnival Mega 3 Dimensi 2025 (MK3D 2025) di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC).
Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Pengerusi Felda Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.
Anwar turut menegaskan bahawa kerajaan mempunyai tanggungjawab besar untuk mengangkat martabat negara dan menunaikan amanah kepada rakyat termasuk warga Felda, selari dengan prinsip Kerajaan MADANI.
Beliau berkata pelbagai usaha dan janji telah dilaksanakan sepanjang tiga tahun kerajaan memerintah termasuk menjaga kebajikan peneroka menerusi penubuhan pusat dialisis di setiap kawasan Felda.
Dalam konteks pendidikan pula, Anwar berkata lebih 1,000 sekolah angkat telah diwujudkan dengan kerjasama syarikat korporat dan badan berkaitan kerajaan (GLC) termasuk sekolah di kawasan Felda yang menerima manfaat bersama.
“Kalau orang tanya…kamu ada kuasa, masa inilah buat kerja, masa inilah berikan sebaiknya kepada rakyat. Jangan masa ada kuasa, sakau sana sini (untuk) kayakan anak menantu. Kemudian bila hilang kuasa (kamu minta) Anwar turun.
“Saya belajar satu perkara. Kalau nak buat, masa kita ada kuasa. Jangan berleter mengeluh masa kita dah ditendang oleh rakyat,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah dan kementerian berkaitan yang terlibat secara langsung dalam membangunkan komuniti Felda.
“Di bawah Kerajaan MADANI, semua kementerian, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Kementerian Kesihatan, Kementerian Pendidikan, semuanya mesti ambil tanggungjawab mengangkat kehidupan dan kemudahan yang ada di Felda,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial