KUALA LUMPUR, 2 Ogos (Bernama) -- Kerajaan akan memulih dan memartabatkan semula institusi pondok negara agar kekal menjadi benteng pertahanan akidah, akhlak dan sahsiah umat Islam selari dengan tuntutan semasa, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata langkah itu melibatkan kerjasama antara Kementerian Kewangan dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bagi memastikan sekolah agama dan pondok yang masih dalam keadaan daif dapat dibangunkan dengan kemudahan serta teknologi baharu.
“Kita mahu tambah dengan teknologi baharu termasuk teknologi maklumat, pendigitalan dan kecerdasan buatan (AI) supaya benteng ini kekal sebagai benteng terkuat yang boleh pertahankan akidah, akhlak dan sahsiah ummah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) ke-65 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini hari ini.
Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Anwar berkata sejarah membuktikan bahawa ketika sistem politik, ekonomi dan pendidikan negara tunduk kepada penjajah, institusi pondok kekal sebagai benteng terakhir mempertahankan jati diri umat Islam.
Dalam pada itu, Perdana Menteri menyatakan beliau akan meluncurkan Program Mushaf Ummah pada 8 Ogos ini dalam usaha memperluas penyebaran al-Quran dan mesej Islam ke serata dunia melalui terjemahan rasmi ke dalam 30 bahasa dunia.
“Dalam semua perjalanan saya ke seluruh dunia, Peru, Brazil, Perancis, Kemboja dan puluhan negara dalam beberapa tahun ini, setiap kali saya berkunjung, saya akan bawa al-Quran bersama terjemahan dalam bahasa negara itu dan kita edarkan secara rasmi dan inilah bagi saya satu pendekatan yang baik,” katanya.
MTHQA ke-65 yang berlangsung dari 2 hingga 9 Ogos ini tampil dengan tema ‘Membangun Ummah MADANI’ serta menghimpunkan 71 peserta dari 49 negara.
Malaysia diwakili Aiman Ridhwan Mohamad Ramlan dari Perak dan Wan Sofea Aini Wan Mohd Zahidi (Terengganu) bagi kategori Tilawah manakala Muhammad Adib Ahmad Rozaini (Perak) dan Putri Auni Khadijah Mohd Hanif (Kelantan) untuk Hafazan.
Pemenang akan menerima wang tunai RM40,000, naib johan (RM30,000) dan tempat ketiga (RM20,000) serta barang kemas tajaan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial