AM

Felda Bebas Tentukan Hala Tuju FGV Selepas Selesai Nyahsenarai – PM Anwar

02/08/2025 06:19 PM

KUALA LUMPUR, 2 Ogos (Bernama) -- Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) boleh mula menentukan sendiri arah tuju FGV Holdings Bhd selepas syarikat itu selesai proses penyahsenaraian daripada Bursa Malaysia yang akan bermula 28 Ogos ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata langkah itu akan membolehkan Felda bersama-sama koperasi dan peneroka, memberi tumpuan sepenuhnya kepada matlamat asal penubuhan agensi itu iaitu menjamin hak, hasil dan kepentingan peneroka.

"Kita boleh proses nyahsenarai mulai 28 Ogos ini. Maknanya sekarang FELDA tidak terikat, Felda satu kekuatan, FGV boleh tentukan arah tuju mereka dan boleh beri jaminan dengan (Koperasi Permodalan FELDA Malaysia Bhd atau KPF) supaya faedah dan kepentingan peneroka itu menjadi keutamaan.

“Sebaik saja hal ini diuruskan, saya bersama dengan Pengerusi Felda Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan rakan-rakan akan memastikan pengarahan yang jelas daripada kerajaan -- iaitu memastikan FGV kembali kepada matlamat asal Felda,” kata beliau ketika berucap merasmikan Mega Karnival 3 Dimensi (MK3D) 2025 di sini hari ini.

Beliau berkata penyahsenaraian FGV adalah hasil pengurusan Felda yang cekap, dan kini tumpuan perlu diberi untuk memastikan pelaksanaan projek-projek Felda berjalan lancar mengikut keperluan peneroka.

Terdahulu, media melaporkan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan Felda kini menguasai sebanyak 92 peratus saham dalam FGV sekali gus membuka laluan kepada pemilikan penuh serta penstrukturan semula syarikat itu. 

FGV sebelum ini memaklumkan kepada Bursa Malaysia bahawa Felda telah menerima semua penerimaan sah bagi baki saham biasa syarikat itu yang menjadikan pegangan Felda mencecah 91.73 peratus.

Dagangan saham FGV dijangka digantung selepas lima hari pasaran daripada tarikh tutup tawaran pada 15 Ogos 2025.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan