AM

Arab Saudi Lihat Anak Bulan Zulhijjah Hari Ini, Penentu Hari Arafah Dan Aidiladha 

27/05/2025 09:57 AM

Oleh Nurliyana Farhah Ruslan

MAKKAH, 27 Mei (Bernama) -- Kerajaan Arab Saudi menetapkan hari ini (27 Mei) bersamaan 29 Zulkaedah 1446H sebagai tarikh rasmi untuk melihat anak bulan Zulhijjah.

Ketua Rombongan Haji Malaysia Mohd Hisham Harun berkata Kerajaan Arab Saudi akan menjalankan cerapan anak bulan bagi menentukan tarikh 1 Zulhijjah, seterusnya menentukan tarikh wukuf di Arafah serta Hari Raya Aidiladha.

“Keputusan rasmi dijangka diumumkan selepas waktu Maghrib (waktu tempatan)," katanya ketika ditemui media selepas lawatan ke kawasan operasi masyair di sini semalam

Selain itu, Mohd Hisham berkata bagi memastikan ketetapan ibadah dipatuhi, Jemaah Pakar Rujuk Bimbingan Haji Musim 1446H telah memutuskan bahawa waktu separuh malam pada 10 Zulhijjah bermula 11.36 malam.

"Penetapan waktu ini penting kerana ia menandakan bermulanya waktu bermalam (mabit) di Muzdalifah, waktu melontar Jamrah Kubra, permulaan tahallul awal (bergunting rambut) dan permulaan waktu tawaf haji," katanya.

Beliau berkata tempoh mabit minimum di Mina pada malam 11, 12 dan 13 Zulhijjah ditetapkan sekurang-kurangnya 4 jam 35 minit selepas waktu Maghrib, selari dengan panduan syarak.

Sementara itu, Mohd Hisham memaklumkan tahap kesediaan khemah di Arafah dan Mina bagi operasi masyair jemaah haji Malaysia musim ini telah melebihi 95 peratus dan dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh tiga hari lagi.

"Khemah bersaiz besar mampu menampung lebih 200 orang pada satu-satu masa dan setiap khemah dilabel jelas nombor maktab dan nombor khemah. Tabung Haji (TH) akan diberi lokasi nombor khemah di Arafah dan Mina dan jemaah boleh membuat semakan melalui aplikasi TH Hujjaj dalam sedikit masa lagi," katanya.

Operasi masyair adalah kemuncak keseluruhan operasi haji yang melibatkan pergerakan jemaah haji Malaysia ke Arafah, Muzdalifah dan Mina bagi tempoh lima hari bermula 8 hingga 13 Zulhijjah untuk menyempurnakan ibadah rukun dan wajib haji.

Mohd Hisham berkata ketika di Muzdalifah, jemaah akan ditempatkan di kawasan lapang tanpa khemah mengikut pembahagian maktab masing-masing dan pihak masyarik akan menyediakan tikar serta karpet di seluruh kawasan bermabit bagi keselesaan jemaah.

"TH berharap jemaah haji dapat mengamalkan sikap bertolak ansur dan saling membantu ketika berada di Mina memandangkan ruang khemah yang terhad dengan menempatkan 16 hingga 20 jemaah dalam sebuah khemah," katanya.

Beliau berkata antara kemudahan yang disediakan di Arafah dan Mina termasuk tandas awam mencukupi, sistem makanan harian tiga kali sehari dalam bentuk makanan sedia untuk dimakan (MRE) yang dihantar terus ke khemah jemaah serta konsultasi perubatan di lapangan sementara yang beroperasi 24 jam sehari.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan