AM

RM1.3 Juta Naik Taraf Jeti Pelabuhan Kota Kinabalu, Perkhidmatan Feri KK-Labuan Pulih

27/05/2025 03:32 PM

KOTA KINABALU, 27 Mei (Bernama) -- Kerajaan Persekutuan meluluskan peruntukan RM1.3 juta bagi kerja-kerja membaik pulih dan menaik taraf jeti Pelabuhan Kota Kinabalu di sini, sebagai prasyarat pemulihan laluan perkhidmatan feri ekspres antara Kota Kinabalu dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata keterhubungan lebih baik antara kedua-dua wilayah akan mampu menggerakkan lagi pertumbuhan dalam pelbagai sektor, seterusnya menyumbang secara langsung kepada kekuatan blok ekonomi Malaysia Timur.

"Dalam konteks ini, perkhidmatan feri ekspres ini membawa makna besar kerana ia bakal menjadi  pemangkin kepada rantaian ekonomi, sosial dan pembangunan serantau, termasuk mengeratkan lagi jalinan keluarga, urusan harian masyarakat, rantaian bekalan serta dinamika sosioekonomi setempat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jeti dan Perasmian Feri Penumpang Kota Kinabalu-Labuan yang disempurnakan oleh Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor, di Pelabuhan Kota Kinabalu di sini hari ini.

Perkhidmatan feri penumpang antara Kota Kinabalu-Labuan kini kembali beroperasi selepas tiga tahun dihentikan akibat pandemik COVID-19.

Dr Zaliha berkata pelbagai urusan harian rakyat terutama yang berulang alik dari kedua-dua lokasi seperti pelajar, pesakit, peniaga, dan penjawat awam yang terjejas dalam tempoh itu, turut memberi kesan kepada kesejahteraan serta produktiviti harian mereka susulan kos meningkat dan masa perjalanan lebih panjang.

Bagaimanapun, beliau berkata kini masa perjalanan antara Kota Kinabalu dan Labuan dapat dikurangkan kepada sekitar tiga jam berbanding lima jam sebelum ini.

Beliau berkata lebih 400,000 perjalanan direkodkan melalui laluan laut antara Labuan dan Sabah, iaitu Menumbok dan Sipitang pada 2024 dengan pelbagai tujuan, termasuk pekerjaan, pendidikan, rawatan kesihatan dan urusan keluarga, manakala lebih 145,000 perjalanan direkodkan dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini.

"Dengan pelancaran laluan ini, unjuran keseluruhan perjalanan laut antara Sabah dan Labuan dijangka meningkat hingga 500,000. Ini akan memberi limpahan ekonomi dan menghidupkan kembali ekonomi pesisir, khususnya dalam sektor makanan, pengangkutan, penginapan dan peruncitan," katanya.

Sementara itu, Hajiji dalam ucapannya berkata pengoperasian semula perkhidmatan feri berkenaan dilihat mampu memperkukuh jaringan pengangkutan laut, membuka semula laluan penting kepada mobiliti rakyat dan perkembangan ekonomi rentas wilayah sekali gus isyarat jelas keprihatinan kerajaan terhadap kebajikan rakyat.

Ketua Menteri berkata gangguan perkhidmatan itu sebelum ini adalah kerana beberapa faktor seperti struktur jeti tidak selamat, penarikan subsidi minyak kepada pengusaha serta kesan pandemik COVID-19.

Beliau berkata sebagai langkah penyelesaian segera, terminal feri dipindahkan dari Jesselton Point ke Pelabuhan Kota Kinabalu dengan pengurusan operasi kini dikendalikan sepenuhnya oleh Pelabuhan Kota Kinabalu.

"Perkhidmatan feri ini dijangka memberi impak positif terhadap sektor pelancongan negeri terutama menjelang Tahun Melawat Sabah 2026, selain membuka peluang baharu dalam bidang perdagangan dan pelaburan antara Sabah dan Labuan,” katanya.

Dengan pengoperasian semula perkhidmatan itu, Hajiji berkata rakyat dari kedua-dua wilayah kini mempunyai lebih banyak pilihan pengangkutan sama ada menggunakan laluan udara, jalan darat ke Menumbok atau terus melalui feri ekspres dari Kota Kinabalu ke Labuan seperti sebelum ini.

Pelancaran itu turut menandakan permulaan kepada satu rangka kerja pengangkutan laut lebih kukuh, cekap dan lestari, sesuai dengan aspirasi negeri untuk menyediakan kemudahan mesra rakyat dan mesra alam kepada generasi akan datang. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan