AM

Tindakan Individu Langgar Prosedur Haji Boleh Beri Kesan Kepada Negara

27/05/2025 08:39 PM

KUALA LUMPUR, 27 Mei (Bernama) -- Rakyat Malaysia yang ingin menunaikan ibadah haji diingatkan mematuhi prosedur ditetapkan kerajaan Arab Saudi kerana kegagalan berbuat demikian bukan sahaja menyebabkan mereka dikenakan tindakan, malah memberikan kesan kepada negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata Arab Saudi sebelum ini pernah menggantung kemasukan jemaah dari 14 negara akibat pelanggaran visa.

“Saya telah beri amaran banyak kali sebelum ini. Jangan sampai kedegilan kita melanggar peraturan yang ditetapkan kerajaan Arab Saudi menyebabkan masalah kepada jemaah haji lain dan yang akan datang.

“Kalau perkara ini berulang, bukan saja individu itu dikenakan tindakan, tetapi seluruh negara boleh terjejas. Ini termasuk, pengurangan atau penggantungan kuota jemaah haji kita,” katanya kepada pemberita  selepas merasmikan Pavilion Al-Falah sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) ke-46 di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai laporan media berhubung seramai 63 rakyat Malaysia diusir dari Makkah sejak 24 Mei lepas kerana tidak memiliki visa haji yang sah.

Mohd Na'im berkata pelanggaran peraturan itu juga boleh membawa padah kepada individu, seperti denda hingga 100,000 Riyal Saudi serta disenarai hitam daripada memasuki negara berkenaan selama sekurang-kurangnya lima tahun.

Bagaimanapun, beliau berkata Lembaga Tabung Haji (TH) setakat ini belum menerima sebarang aduan rasmi berhubung kes pengusiran itu.

Mengulas mengenai penganjuran parti arak yang dilaporkan berlaku di dua hotel lima bintang di Melaka, Mohd Naim berkata perkara itu  tidak bersesuaian dengan syarak, terutama hotel yang mempunyai sijil halal.

“Penganjuran majlis yang bertentangan dengan ajaran Islam seperti ini wajar dikenakan tindakan oleh pihak yang berwajib, khususnya badan yang mengeluarkan sijil halal berkenaan,” katanya.

Semalam, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama Melaka Datuk Rahmad Mariman dilapor berkata Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) bertindak tegas menarik balik Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) dua hotel di Banda Hilir selepas didapati menganjurkan parti arak, dua minggu lepas.

-- BERNAMA


 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan