JENAYAH & MAHKAMAH

Dua Warga Pakistan Didakwa Angkut Migran Di Machang

09/09/2025 08:54 PM

KOTA BHARU, 9 Sept (Bernama) -- Dua lelaki warga Pakistan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan berasingan mengangkut migran senegara pada 13 Ogos lepas.

Tiada pengakuan direkodkan daripada Sajjad Saeed Abdul, 27, dan Hameed Gul Mehrab, 32, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulkifli Abllah kerana kes itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi. 

Mengikut pertuduhan, Sajjad didakwa mengangkut lima lelaki migran warga Pakistan menggunakan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di Jalan Bypass Machang-Kuala Krai, Machang, kira-kira 9 malam.

Hameed pula didakwa mengangkut empat lelaki migran warga Pakistan dengan menggunakan sebuah kereta di Jalan Kampung Telaga Tujuh, Machang, kira-kira 10.10 malam.

Kedua-dua pertuduhan dibuat di bawah Seksyen 26J Akta Pemerdangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda maksimum RM250,000 atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan, serta Seksyen 36 (1) Akta Pemerdangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Kamilah Che Ibrahim manakala tertuduh tidak diwakili peguam. Mahkamah menetapkan 29 Okt sebagai tarikh sebutan semula kes.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan