KUALA LUMPUR, 9 Sept (Bernama) -- Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek membuat laporan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berikutan fitnah yang mengaitkan beliau dengan Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha.
Dalam hantaran di Facebook hari ini, Fadhlina berkata beberapa individu cuba mengaitkan beliau dengan pengetua sekolah terbabit.
“Akhir-akhir ini, banyak sekali fitnah direkayasa secara liar dan jahat, serta menyebarkan kebencian. Setakat menepis dan menafikan, ternyata tidak menjadi pengajaran.
“Apatah lagi fitnah itu mengaitkan arwah ibu saya yang sudah tiada di dunia ini untuk mempertahankan dirinya. Fitnah yang ditaja secara jahat dan disebarkan telah memberikan implikasi kepada masyarakat,” katanya.
Sebelum ini, dilaporkan pengetua berkenaan, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid dan semua warden sekolah itu telah ditempatkan sementara di Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah sehingga siasatan polis ke atas kes Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir selesai.
Dalam hantaran sama, Fadhlina berkongsi komen warganet yang mendakwa beliau mempunyai hubungan persaudaraan dengan pengetua terbabit.
Beliau menegaskan tindakan undang-undang akan diambil dan berharap perkara itu menjadi pengajaran agar orang ramai tidak membuat spekulasi.
“Hormati keluarga Allahyarham Zara Qairina dan beri ruang kepada proses undang-undang yang sedang berjalan.
“Jika keadilan itu yang kita cari, maka ia harus ditegakkan dengan paksi kebenaran. Sesungguhnya keadilan itu sangat dekat dengan takwa,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial