AM

USM, Sandisk Bangunkan Makmal Universiti Dalam Industri Pertama Di Malaysia

07/08/2025 06:31 PM

BATU KAWAN, 7 Ogos (Bernama) -- Universiti Sains Malaysia (USM) dan Sandisk Storage Malaysia Sdn Bhd (Sandisk) melakar sejarah apabila bekerjasama membangunkan USM-Sandisk Centre of Innovation and Automation Lab (USM-Sandisk CiA Lab) yang merupakan makmal inovasi pertama berkonsepkan 'universiti dalam industri' di negara ini.

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata makmal tersebut merupakan pusat penyelidikan dan latihan yang memberi peluang kepada pelajar peringkat sarjana muda dan pascasiswazah untuk terlibat secara langsung dalam industri.

Selain itu, beliau berkata USM-Sandisk CiA Lab juga menjadi medan penyelidikan aplikasi sebenar khususnya bagi pelajar ijazah doktor falsafah (PhD) yang menyempurnakan kajian mereka dalam bidang berteraskan inovasi serta automasi industri.

"Kerjasama erat antara syarikat pembuatan semikonduktor terkemuka itu (Sandisk) dan USM dilihat sebagai contoh unggul sinergi antara industri dan institusi pengajian tinggi dalam memperkasakan agenda teknologi tinggi negara

"Ia dibiayai sepenuhnya oleh Sandisk, termasuk penyediaan peralatan berteknologi tinggi, kemudahan bertaraf dunia, sumber yang dikongsi dan penyelenggaraan," katanya selepas merasmikan USM-Sandisk CiA Lab di Sandisk di sini hari ini yang turut dihadiri Pengurus Besar Sandisk Lim Boon Soo dan Naib Canselor USM Prof Datuk Seri Dr Abdul Rahman Mohamed.

Zambry berkata Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menyambut baik pencapaian itu sebagai satu tanda aras penting sekali gus menyokong hala tuju yang sedang diusahakan dalam pendidikan tinggi negara iaitu institusi akademik dan industri bekerjasama sebagai rakan strategik untuk membina kapasiti negara.

Beliau menyifatkan kerjasama itu secara khusus memperkukuh lagi inisiatif KPT di bawah model ‘industri dalam kampus’ sedia ada dan membuka laluan baharu untuk pembangunan bakat dan aplikasi penyelidikan dengan menempatkan universiti dalam persekitaran industri.

Sementara itu, Lim berkata penubuhan makmal berkenaan merupakan lanjutan kepada pelbagai kerjasama sedia ada antara Sandisk dan universiti tempatan termasuk USM menerusi program Campus Connect, latihan industri dan pembangunan profesional graduan baharu.

“CiA Lab dibangunkan berasaskan elemen utama 'Lights Out Manufacturing' atau pembuatan automasi penuh yang menjadi sebahagian daripada metodologi transformasi digital IR4.0 dan tujuannya ialah untuk memperkukuh pendekatan itu melalui kerjasama rapat dengan institusi pengajian tinggi tempatan,” katanya

Dalam pada itu, Abdul Rahman berkata projek tersebut menjadi pemangkin kepada pembangunan bakat masa depan dan penyelidikan yang lebih bersasar dalam ekosistem industri sebenar.

Katanya pelbagai program seminar dan bengkel turut dijalankan sebelum ini bagi menyokong pemindahan ilmu dan pembinaan kapasiti khususnya dalam bidang kecerdasan buatan (AI), robotik dan internet kebendaan (IoT).

USM-Sandisk CiA Lab akan memberi tumpuan kepada konsep ‘Lights Out Manufacturing’ melibatkan 14 projek yang dikategorikan di bawah tujuh bidang utama dalam Industri 4.0.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan