KUALA LUMPUR, 7 Ogos (Bernama) – Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) memainkan peranan penting dalam membantu mempromosikan agenda pembangunan dan memperkasakan peranan wanita dalam lebih 100 sektor di seluruh dunia.
Presiden Forum Ekonomi Wanita (WEF) ASEAN 2025 Dr Hartini Osman berkata fungsi Bernama sebagai agensi berita rasmi tunggal Malaysia khususnya dalam memberi liputan berita pada WEF ASEAN 2025 yang berlangsung Jun lepas, berjaya membantu pihaknya mencapai 27 resolusi dalam merealisasikan aspirasi wanita di seluruh ASEAN dan di peringkat global.
“Kita mendapat sokongan yang sangat kuat daripada Bernama pada WEF ASEAN 2025, memberi kita peluang untuk keluar di platformnya dan menemu bual peserta, pemimpin dan panel kita yang datang dari 32 negara.
“Kita berjaya mencapai 27 resolusi sepanjang tiga hari forum yang telah mendapat liputan daripada Bernama iaitu berkaitan keupayaan dan pembangunan wanita dari segi pemberdayaan wanita, pendidikan, teknologi maklumat, keselamatan siber, keusahawanan keselamatan, keusahawanan, motivasi dan sebagainya,” katanya semasa kunjungan hormat ahli jawatankuasa WEF ASEAN 2025 ke atas Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin di Wisma Bernama di sini hari ini.
Turut hadir Pemangku Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Mohd Shukri Ishak.
Hartini berkata pada tahun hadapan pihaknya akan mengadakan 'Women Economic Forum Global Meet' dan berharap Bernama akan menjadi rakan media bagi program berkenaan.
“Sekali lagi kita jangka ramai peserta dan panel dari serata dunia akan menyertai program ini, kita setakat ini mempunyai 250,000 ahli seluruh dunia dan menyasarkan untuk mencapai 1 juta ahli pada tahun ini. Jadi untuk program Women Economic Forum Global Meet, kita harap kita dapat jalinkan kerjasama lagi dengan Bernama,” katanya.
Sementara itu, Nur-ul Afida berkata peranan WEF dalam membawa suara wanita dalam pelbagai bidang sehingga ke peringkat global merupakan peluang kepada Bernama untuk menyalurkan inisiatif dan maklumat berkaitan organisasi itu kepada masyarakat umum.
“Sebenarnya kita di Bernama ini selaku agensi berita tunggal Malaysia, kita sentiasa memberi sokongan dan kerjasama kepada pelbagai pihak. Jadi untuk WEF, saya melihat mereka membawa suara wanita dalam pelbagai bidang.
“Jadi apabila kita mendengar taklimat daripada Datin Dr Hartini, beliau sebut usaha-usaha mereka dalam memperkasakan wanita dalam bidang sains, komunikasi dan sebagainya, saya melihat inilah peluang kita menjadi penyalur maklumat kepada masyarakat umum… kita boleh membantu mereka menerusi platform newswire, TV, radio dan media digital Bernama,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa Bernama sememangnya mempunyai peranan yang besar untuk sama-sama mengangkat suara wanita Malaysia ke peringkat antarabangsa.
Pada kunjungan itu, Hartini turut menyampaikan sijil dan plak anugerah ‘Women of the Decade’ kepada Nur-ul Afida sebagai mengiktiraf kepimpinan dan komitmen tidak berbelah bahagi beliau dalam memajukan industri media.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial