AM

KPT Arah Dua Politeknik Di Utara Semak Semula Kursus, Sokong Industri Semikonduktor

07/08/2025 02:59 PM

GEORGE TOWN, 7 Ogos (Bernama) -- Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mengarahkan dua politeknik di utara tanah air menyemak semula kursus yang ditawarkan agar memenuhi dan menyokong keperluan industri berteknologi tinggi, khususnya semikonduktor yang semakin berkembang pesat.

Menteri berkenaan Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata dua politeknik tersebut adalah Politeknik Balik Pulau di Pulau Pinang dan Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah (PTSB) yang sebelum ini lebih dikenali sebagai Politeknik Kulim di Kedah, yang terletak berhampiran hab semikonduktor negara.

“Politeknik juga perlu kita persiapkan, jadi saya telah mengarahkan supaya dua politeknik yang ada di kawasan utara ini melihat dan menyemak semula dari segi kursus yang mereka tawarkan supaya dapat memenuhi permintaan dalam bidang yang semakin berkembang.

“Kita tidak mahu hanya pada universiti, kita hendak juga melihat perubahan di peringkat politeknik dan kolej komuniti yang ada di kawasan yang berkaitan dengan ekosistem tersebut,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan IEEE International Symposium on the Physical and Failure Analysis of Integrated Circuits (IPFA) 2025 di Pusat Konvensyen Setia Spice di Bayan Lepas, hari ini.

Beliau berkata langkah itu sejajar dengan usaha kerajaan membangunkan ekosistem menyeluruh bagi menyokong aspirasi menjadikan Malaysia peneraju dalam sektor semikonduktor, termasuk aspek reka bentuk dan pengeluaran cip sekali gus kekal berdaya saing dalam landskap teknologi global.

Zambry juga menekankan kepentingan membina ekosistem pendidikan yang menyeluruh serta  memperkukuh jaringan kerjasama antara universiti dan pihak industri menerusi pendekatan strategik jangka panjang, khususnya dalam bidang kejuruteraan serta semikonduktor. 

“Bukan hanya Universiti Sains Malaysia (USM) tetapi juga pelbagai universiti yang lain turut berperanan seperti Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), antara peneraju utama dalam bidang ini.

“Kita juga ada lima Malaysia Technical University Network (MTUN) yang mengkhususkan dalam bidang teknikal tinggi termasuk kejuruteraan, semikonduktor, teknologi maklumat (IT) dan kecerdasan buatan (AI),” katanya.

Dalam pada itu, beliau memuji USM yang telah menunjukkan pencapaian membanggakan apabila berjaya membangunkan cip mereka sendiri, dengan kerjasama pelbagai pihak industri.

Beliau berkata pencapaian itu menunjukkan kemampuan institusi pengajian tinggi (IPT) negara untuk bukan sahaja terlibat dalam aspek back-end industri semikonduktor tetapi juga mula memasuki fasa front-end membabitkan reka bentuk dan pengeluaran cip.

Persidangan IPFA 2025 yang berlangsung dari 5 hingga 8 Ogos itu dianjurkan oleh Pusat Usahasama Kecemerlangan Rekabentuk Mikroelektronik (CEDEC) USM dan kali kedua diadakan di Malaysia.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan