KUALA LUMPUR, 7 Okt (Bernama) -- Satu gabungan badan bukan kerajaan (NGO) dan individu yang mewakili masyarakat pelbagai kaum dan agama di Malaysia hari ini menyatakan sokongan padu terhadap misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza, sekali gus menyanjung tinggi keberanian dan keteguhan para aktivis yang terlibat.
Dalam kenyataan bersama, gabungan itu menyambut baik pembebasan semua aktivis yang ditahan dan menganggap ketabahan mereka sebagai simbol keberanian sejagat dalam menentang kezaliman dan ketidakadilan.
“Kami merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan sokongan terhadap keberanian aktivis GSF yang telah membawa mesej solidariti kemanusiaan untuk rakyat Palestin,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu dikeluarkan oleh Pengerusi Pertubuhan Perpaduan Anak Muda Malaysia Dr Muhammad Fairuz Azmi, Presiden Global Unity Network Shah Kirit Kakulal Govindji, Penasihat Association of NextGen Christian of Malaysia Jason Leong dan Penasihat Malaysia Hindu Sangam Terengganu Dr Balachandran Gopal Krishnan.
Ia turut ditandatangani aktivis agama Dr Charanjit Kaur dan Loh Pai Ling, aktivis sosial Chew Hoong Ling, Pengasas dan Presiden Persatuan Usahawan Asia Pasifik Dr Shawn Loh Sheng Nian, Presiden Gerakan Belia Se-Punjabi Malaysia Harinder Kaur, Low Lee Leong daripada Gerakan Rakyat Patriotik, Syahrul Md Yusoff (Kitakan Kawan) serta Tai Zee Kin (Pendukung Perpaduan).
Gabungan itu menyatakan perjuangan untuk rakyat Palestin akan diteruskan kerana isu berkenaan bukan bersifat agama tetapi isu kemanusiaan sejagat yang memerlukan keprihatinan semua pihak.
Pada Khamis lepas, 23 aktivis rakyat Malaysia yang menyertai misi GSF ditahan tentera rejim Zionis, namun berjaya dibawa keluar dari Israel pada Sabtu dan semua mereka akan tiba di tanah air malam ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial