EKONOMI

Air Selangor Selesai Terbit Sukuk SRI Bernilai RM1.5 Bilion

08/10/2025 02:26 PM

KUALA LUMPUR, 8 Okt (Bernama) -- Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd berjaya menyempurnakan terbitan tranche ketujuh dan terbesar sukuk pelaburan mampan dan bertanggungjawab (SRI) di bawah program Sukuk Kelestarian Air Selangor bernilai RM1.5 bilion.

Dalam satu kenyataan hari ini, syarikat itu berkata terbitan tersebut merangkumi lima siri sukuk dengan tempoh matang antara tujuh hingga 25 tahun.

Ia merupakan terbitan kelapan di bawah Program Sukuk Murabahah Air Selangor yang dinaikkan hadnya kepada RM20 bilion bagi menyokong keperluan infrastruktur jangka panjang dan matlamat kemampanan syarikat.

Ketua Pegawai Eksekutif Air Selangor Adam Saffian Ghazali berkata sambutan yang menggalakkan terhadap sukuk SRI sebelum ini mencerminkan keyakinan pelabur terhadap daya tahan kewangan syarikat serta komitmen bersama ke aras kemajuan mampan.

Beliau berkata untuk terbitan kali ini, ia menerima permintaan tinggi daripada pelabur, dengan lebihan langganan sebanyak 2.51 kali dan jumlah nilai perolehan kontrak mencecah RM3.77 bilion, sekali gus mengukuhkan lagi kedudukan Air Selangor dalam pasaran sukuk mampan.

"Program Sukuk Murabahah itu turut menerima pengukuhan semula penarafan kredit AAA jangka panjang dengan tinjauan stabil oleh RAM Rating Services Bhd pada 28 Ogos 2025, membuktikan asas kredit program yang kukuh," katanya.

Air Selangor berkata hasil daripada penerbitan sukuk SRI ini akan digunakan bagi membiayai projek-projek layak yang sejajar dengan keutamaan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) syarikat serta Rangka Kerja Sukuk Kelestarian Pembangunan Mampan.

Antara projek utama yang bakal menerima pembiayaan termasuk inisiatif bekalan air mampan dan pengurusan sumber air seperti Skim Bekalan Air Rasau serta program penggantian paip, yang mencerminkan komitmen Air Selangor dalam memastikan jaminan bekalan air jangka panjang untuk generasi akan datang, kata syarikat itu.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan